KUALA LUMPUR 9 Dis. - Dakwaan pembangkang bahawa
terdapat 300,000 orang India di negara ini tidak memiliki taraf
kewarganegaraan adalah satu pembohongan, kata Datuk Seri Najib Tun
Razak.
Menurut Perdana Menteri, menerusi program pendaftaran kewarganegaraan
kaum India yang dilaksanakan kerajaan, sekurang-kurangnya 9,000 orang
telah dikesan.
"Daripada 9,000 ini, 4,500 kita sudah selesai bagi taraf kerakyatan
(menerusi pemberian sijil kelahiran dan MyKad), 2,000 lagi dalam proses.
"Kita buka pendaftaran ini, sesiapa ada masalah boleh tampil ke
hadapan dan saya bagi jaminan bahawa sesiapa yang layak mendapat
kerakyatan, kita akan proses dan bagi kelulusan tetapi tidak sampai
300,000 orang, dia tipu," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan
Agung MIC Ke-66 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Menurut Najib, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga
merendah-rendahkan kebijaksanaan kaum India apabila berjanji bahawa
jumlah 300,000 orang tanpa kewarganegaraan itu akan dapat diselesaikan
dalam tempoh sebulan selepas pakatan pembangkang mendapat kuasa.
"Dalam masa sebulan hendak selesai bererti bahawa satu hari 10,000
kes dia kena selesaikan, maknanya, dia kena cari 10,000 orang, dia akan
proses borang 10,000 orang dan dia kena terima dan beri kelulusan
10,0000 orang, ini jelas merendahkan kebijaksanaan kaum India," katanya.
Menurut Najib, janji pakatan pembangkang adalah janji kosong dan menyifatkannya 'Janji Kampung Buah Pala'.
"Sebelum pilihan raya 2008, masa kempen, dia (Anwar) kata, kalau
pakatan menang, dalam masa dua minggu selesai masalah Kampung Buah Pala
dan penduduk boleh tinggal di situ selama-lamanya, akhirnya, itu tipu
belaka," katanya yang memberitahu masalah itu akhirnya terpaksa juga
diselesaikan Barisan Nasional (BN).
Kata beliau, pembangkang juga tidak menitikberatkan kepentingan kaum
India kerana dalam tempoh empat tahun ini, sebanyak tujuh buah kuil
telah dirobohkan oleh kerajaan pakatan pembangkang termasuk sebuah kuil
persendirian di sebuah rumah di Sepang, Selangor.
Najib yang juga Pengerusi BN memberi peringatan bahawa setiap undi
kepada pembangkang bermakna menyumbang kepada masa depan negara yang
tidak menentu.
"Satu undi pembangkang juga bererti orang India dan masyarakat kita
tertipu, janji Kampung Buah Pala akan berlaku lagi, malah pembangkang
tiada agenda perubahan besar untuk negara," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121210/po_03/Pembangkang-bohong-300000-India-tiada-kerakyatan#ixzz2EijCMlsU
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa, 11/12/12
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa, 11/12/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan