KUALA LUMPUR 9 Dis. - MIC menjanjikan kemenangan
besar buat Barisan Nasional (BN) terutama melalui undi masyarakat India
berikutan sokongan luar biasa yang diterima sejak Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk pentadbiran negara pada
2009.
Presidennya, Datuk Seri G. Palanivel berkata, sokongan kaum India
terhadap parti komponen itu bertambah kuat berikutan komuniti tersebut
mendapat manfaat besar dalam bidang pendidikan, program pembangunan
serta perkhidmatan awam hasil inisiatif Najib.
"Sejarah hitam pada 2008 tidak akan sesekali berlaku, kali ini
masyarakat India sudah kembali kepada MIC dan BN kerana yakin kerajaan
sedia ada sahaja mampu mencorakkan masa depan mereka.
"Kita boleh nampak lebih ramai orang India yang menyokong BN dan MIC
sekarang berbanding dalam pilihan raya lepas. Sememangnya sokongan
masyarakat secara keseluruhan telah meningkat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung
MIC Ke-66 di PWTC di sini yang dihadiri 5,500 perwakilan dan pemerhati
hari ini.
Perdana Menteri merasmikan perhimpunan agung tersebut.
Sementara itu, dalam sidang akhbarnya, Palanivel membidas sikap
pemimpin pembangkang kerana hanya 'mempergunakan' pengundi India untuk
memenangi pilihan raya umum tetapi mengabaikan setiap janji yang telah
dibuat.
"Pembangkang berjaya mengaburi mata masyarakat India dengan isu-isu
sensitif seperti pendidikan, sekolah Tamil selain isu rumah beribadat.
"Tetapi setelah empat tahun mentadbir, mereka tidak langsung membantu
membina sekolah Tamil, mereka juga tidak menyediakan peruntukan untuk
pendidikan atau kebajikan lain,'' katanya.
Dalam pada itu, Palanivel turut berjanji akan menawan kembali
negeri-negeri yang jatuh ke tangan pembangkang terutamanya Selangor.
"Selain Selangor, kita juga yakin beberapa kawasan Parlimen di Pulau
Pinang seperti Nibong Tebal, Balik Pulau, Jawi dan Bukit Tengah akan
jatuh kepada BN, kita akan berusaha mendapatkan kembali mandat rakyat,"
tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan