
Najib Tun Abdul Razak berjabat tangan
dengan G. Palanivel sambil diperhatikan oleh beberapa perwakilan dan
pimpinan Ahli Majlis Tertinggi MIC selepas merasmikan Perhimpunan Agung
MIC Ke-66 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
*****
KUALA LUMPUR 9 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
menyeru masyarakat India terus memberi keyakinan kepada kerajaan Barisan
Nasional (BN) bagi menjamin masa depan yang lebih baik kepada kaum
berkenaan serta seluruh rakyat Malaysia.
Jelas beliau, kerajaan BN tidak pernah berjanji kosong malah tiada
pihak yang dapat menafikan sumbangan begitu banyak kerajaan BN dalam
membela kepentingan masyarakat India yang juga deposit tetap kepada BN
dalam 11 pilihan raya umum di negara ini.
Katanya, walaupun sokongan masyarakat India merosot pada Pilihan Raya
Umum Ke-12 pada tahun 2008, beliau sedar perkara itu adalah kerana
keinginan kaum berkenaan melihat BN berubah menjadi lebih peka kepada
hasrat dan aspirasi masyarakat kaum India.
Kalau sekiranya mereka (kaum India) selama ini merupakan deposit
tetap BN, dan kalau selama ini kita tidak membayar kaedah faedah yang
tinggi atau kadar faedah kita tidak cukup bagus, maka, sejak empat tahun
ini, kerajaan BN telah membayar kaedah faedah yang lebih tinggi.
Sebab itu rata-rata saya pergi di seluruh negara, saya mendapat
sokongan masyarakat India sebab mereka sudah membina keyakinan atau
nambikei bahawa masa depan mereka akan lebih terbela di bawah kerajaan
BN," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-66 di
PWTC, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden MIC, Senator Datuk Seri G. Palanivel,
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, bekas Presiden
MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor.
Menurut Najib, banyak bantuan telah disalurkan kerajaan BN kepada
masyarakat India termasuk peruntukan RM540 juta kepada sekolah jenis
kebangsaan tamil (SJKT) sejak 2009, tambahan pinjaman Tabung Ekonomi
Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), tambahan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia
(AIM) serta peruntukan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Katanya, beliau juga telah mengarahkan Naib Canselor Universiti
Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar untuk
mencari jalan membantu masyarakat kaum India dan di bawah arahannya
juga, 500 tempat di dalam politeknik diberikan kepada kaum berkenaan.
Sekarang ini adalah berdasarkan merit dan bukannya kuota, sebab itu
peratusan kaum India (dalam institusi pengajian tinggi awam) menurun,
kita jangan berputus asa, sebab itu saya bagi 1,500 tempat dalam
matrikulasi untuk membantu masyarakat India" katanya.
Menurut Najib, kerajaan juga akan mempertimbangkan peruntukan
tambahan kepada Kolej Tafe serta memperbanyakan pendidikan prasekolah di
SJKT di seluruh negara.
Ujarnya, beliau menyedari sumbangan begitu besar masyarakat India
kepada negara termasuk menjadikan Malaysia menjadi antara pengeluar
utama getah di dunia serta membantu membina infrastruktur jalan raya dan
landasan keretapi.
Beliau memberitahu, MIC telah menjadi rakan setia kepada BN sejak
zaman memperjuangkan kemerdekaan lagi dan beliau berharap sokongan akan
diberikan kepada calon yang telah dipilih oleh parti demi memastikan
kemenangan besar BN.
Kita mesti yakin dan percaya bahawa kerajaan BN akan melakukan lebih
lagi untuk semua rakyat Malaysia, saya beri jaminan bahawa kita akan
kerja sekuat-kuatnya, bagi kita, nambikei kita akan berjuang
habis-habisan agar Malaysia akan menjadi negara maju tahun 2020,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan