UCAPAN Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak atas tema
'Kepimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional' merangkumi banyak isu
asas dalam perjuangan parti umat Melayu ini memperkasakan bangsa dan
agama.
Memperjuangkan cita-cita Islami disebut dengan jelas dan ia selari
dengan dasar UMNO memperjuangkan bangsa, agama dan negara. Bangsa di
sini tidak dilihat dalam faham yang sempit. Apabila bangsa diperkukuh
dengan ajaran agama ia menjadikan negara Malaysia terbangun di bawah
prinsip maqasid syariah.
Kata Presiden UMNO: "Ingin ditegaskan sini. Tanpa ragu-ragu lagi,
bahawa UMNO komited terus mempertinggikan Islam berteras maqasid
syariah, demi memelihara agama, nyawa, harta benda, akal, maruah dan
keturunan. Kita tidak rela memecahkan belahkan perpaduan umat Islam.
UMNO tidak sekali-kali akan mencaci dan menista saudara seagama seperti
parti lawan. Kita tetap tegas untuk mempertahan kesucian dan kemurnian
akidah".
Penegasan Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri itu membayangkan
jiwa besar ke arah perubahan sikap dan cara berfikir yang perlu ada
dalam realiti Malaysia. Meski Malaysia sebuah negara majmuk tetapi
maqasid syariah tetap diperkukuhkan. Walaupun UMNO tidak menyebut
penubuhan Negara Islam, tetapi sifat maqasid syariah adalah terpelihara
dan semakin kukuh.
Kurikulum agama semakin diperkukuhkan dalam sistem pendidikan di
Malaysia, kemajuan ekonomi berasaskan patuh-syariah semakin berkembang,
peningkatan pemilikan harta umat Islam semakin meningkat, maruah kita
sebagai umat Islam yang mampu mentadbir negara dengan aman dan sejahtera
semakin terlihat dan kebebasan menggunakan akal yang rasional bukannya
emosi sentiasa menjadi agenda utama.
UMNO menginsafi orang Melayu tanpa Islam tidak memiliki pedoman nilai
dalam memberi makna pembangunan dan kesejahteraan yang sebenar. Tetapi
Islam yang diperjuangkan adalah Islam yang berketamadunan.
Islam yang membangunkan sistem bukannya Islam yang dibangunkan dengan
retorik tinggi atau biadasan tajam, kecaman melulu sehingga
menghasilkan rasa taksub yang mendalam, kebencian yang meluap-luap dan
dendam kesumat yang tidak berkesudahan.
Kata Presiden UMNO lagi: "Alangkah peliknya perbuatan mereka ini.
Dalam detik saudara-saudara kita di Gaza sedang ditimpa musibah dan
begitu memerlukan solidariti umat, mereka disini pula sibuk mahukan
kejatuhan orang lain ".
Kenyataan Najib itu membayangkan pentingnya ukhuwah atau persaudaraan
Islam diperkukuhkan. Apa yang berlaku di Palestin adalah gambaran suatu
ketika dulu, umat Islam berpecah dan menyebabkan pihak ketiga melakukan
dominasi.
Hakikat ini perlu diinsafi kalangan umat Melayu supaya senario politik yang ada menjadikan kita lebih matang dan dewasa.
Sesuatu yang baik yang dilakukan oleh orang lain harus diakui baik,
dan sesuatu yang kurang terjadi harus disantuni dengan adab dan etika
yang baik dan jiwa kebersamaan yang tinggi.
Meneliti fahaman yang dibawa oleh pembangkang, yang satunya
memperjuangkan faham sosialis demokratik, yang lainnya memperjuangkan
faham liberal dan pluralis dan yang satu lagi sedang mengembangkan faham
negara kebajikan bukan Negara Islam, penulis tidak nampak titik-temunya
yang bakal memperjuangkan maqasid syariah bagi negara Malaysia.
Rekod memartabatkan Islam oleh UMNO dan kerajaan harus dipertingkat
dengan azam Presiden supaya kefahaman mengenai transformasi Islami tidak
dilihat dalam kerangka yang sempit.
Pembangunan yang memenuhi maqasid syariah harus mampu membangunkan
model insan integratif yang tidak saja memiliki ilmu yang berkualiti
tetap nilai keinsanan yang tinggi.
Pembangunan ekonomi patuh-syariah harus diperluaskan lagi supaya Malaysia menjadi model unggul dalam pembangunan ekonomi Islam.
Pembangunan ekonomi berpendapatan tinggi harus selari dengan
kepentingan syariah dan mutu berfikir umat Melayu membayangkan ia
berdaya maju dan menyumbang ke arah jalur berfikir yang sihat.
Asas ini hanya boleh terjadi sekiranya warga umat Melayu merapatkan
saf ukhuwahnya supaya kekuatan yang ada lebih menjadikan umat Melayu
sebagai pengurus yang adil dan bertimbang rasa.
Kelemahan yang ada harus diperbaiki secara bersama supaya keadilan
terus tegak, kesejahteraan terus berlaku, maslahah yang bijaksana terus
terjadi.
Inilah kunci kekuatan kita supaya imej umat Melayu sentiasa dinaungi
oleh maqasid syariah yang tinggi dan mampu terus memimpin Malaysia yang
maju dan aman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan