CUBA renungkan kembali, bilakah kali terakhir kita marah? Mampukah
marah ditahan dan bersabar ketika ia sedang membuak-buak? Berapa banyak
kata-kata keji dan kesat yang dihamburkan disebabkan perasaan marah?
Berapa banyak hati yang terluka kerana nafsu amarah kita?
Marah adalah bara yang dilemparkan ke dalam hati anak Adam sehingga
ia mudah beremosi, perasaannya membara, urat saraf akan menegang dan
kadang-kadang ungkapan serta tindakannya tidak masuk akal.
Jabir r.a berkata, "Kami pernah berjalan bersama Nabi SAW pada
satu peperangan, dan ada seorang lelaki berada di atas untanya. Unta
orang Ansar itu berjalan lambat kemudian dia memaki untanya.
'Berjalanlah semoga Allah melaknatmu.' Rasulullah SAW bersabda kepada
orang tersebut, 'Turunlah engkau daripada unta tersebut. Engkau jangan
menyertai kami dengan sesuatu yang telah dilaknat'.
Amat jelas pengajaran daripada kisah tersebut di mana Rasulullah SAW
melarang untuk kita mencerca atau memaki disebabkan kemarahan sekalipun
kepada binatang. Namun, bagaimana dengan dunia sekeliling kita pada hari
ini? Memaki hamun, kata-mengata, cerca mencerca dan saling menuding
jari mencari kesalahan orang lain sudah menjadi satu kelaziman. Malah ia
tidak menimbulkan sebarang kekesalan setelah melangsaikan amarahnya.
Cercaan sering kali dihamburkan susulan daripada kemarahan yang
dicetuskan. Seolah-olah ia berbalas-balas. Umat Islam pada hari ini
seperti tidak mengetahui batasan dan membiarkan sifat mazmumah tersebut
bermaharajalela dalam diri dan seterusnya menular kepada masyarakat
sekeliling. Akhirnya ia menjadi satu kebiasaan yang seringkali
diamalkan.
Mereka mengorbankan nilai-nilai murni disebabkan hanya perbezaan
fahaman politik atau berbeza pendapat dalam sesuatu perkara. Allah SWT
berfirman dalam surah Ali Imran ayat 134 yang bermaksud: "Orang yang
menafkahkan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan
kemarahannya dan memaafkan kesalahan manusia. Ingatlah Allah mencintai
orang yang berbuat kebaikan."
Melihat keadaan semasa negara kita sekarang menggambarkan corak dan
warna-warni perkembangan politik. Sudah pasti pimpinan setiap parti
membawa tiket perjuangan yang berbeza dan harapan tertentu daripada
masyarakat. Ia merupakan satu perkembangan yang sihat jika kita melihat
dari sudut pandangan yang positif.
Hal ini bermanfaat sekiranya perbezaan itu tidak melampaui batas dan
tetap menjaga adab dan etika yang betul seperti mana yang telah
digariskan oleh syara'. Tidak menimbulkan kemarahan apatah lagi
permusuhan. Walaupun berbeza pendapat dan pemikiran (fikrah) tetapi
selagi masyarakat masih lagi berpegang kepada tali agama yang mengikat
diri dengan Pencipta, selagi itulah masyarakat kita tidak akan berpecah.
Cuma, kadang-kadang yang agak menjengkelkan ialah sifat sesetengah
masyarakat yang berselisih pendapat, kurang matang dalam mengendalikan
gelojak perbezaan yang akhirnya mencetuskan permusuhan dan pergaduhan.
Menahan kemarahan yang timbul akan mengelakkan kejadian yang tidak
diingini.
Namun, berapa ramai yang mampu membentengi diri dengan sifat sabar
dan pemaaf? Malah suasana akan menjadi lebih tegang sekiranya kemarahan
itu dizahirkan dengan kata-kata kesat dan maki-hamun. Laman-laman sosial
menjadi wahana untuk saling mencetuskan kemarahan, kata-mengata dan
mengeji.
Walaupun sesetengah daripada kita mempunyai lunas pandangan yang
berbeza, bukanlah bermakna tidak boleh bersatu di bawah satu rumpun
perpaduan yang dijanakan atas dasar kerana Allah dengan syarat setiap
ahli masyarakat perlu mempunyai adab-adab dan etika yang telah
digariskan dalam Islam.
Untuk mengelakkan keadaan semakin kritikal, apabila marah, perlulah
kita mengambil usaha untuk berdiam diri. Sering kali apabila seseorang
marah, sukar baginya untuk menuturkan kata-kata yang baik. Maka kita
disuruh untuk mendiamkan diri, seterusnya berfikir sejenak.
Sekiranya dimarahi, kita juga perlu berdiam diri agar tidak
mengeruhkan lagi suasana. Ia merupakan satu langkah yang terbaik dalam
menenangkan keadaan yang sedia keruh. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang
diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud: "Apabila salah seorang antara kalian marah maka hendaklah dia diam."
Daripada Sulaiman bin Shurad r.a katanya: Saya duduk bersama Nabi
SAW dan di situ ada dua orang yang saling maki-memaki. Salah seorang
daripadanya itu telah merah padam muka dan membesarlah urat lehernya,
kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya saya mengetahui suatu
kalimat yang apabila diucapkannya, tentulah hilang apa yang ditemuinya
(kemarahannya), iaitu andaikata dia mengucapkan "Aku berlindung dengan
nama Allah daripada syaitan yang direjam", tentulah lenyap apa yang
ditemuinya (kemarahannya) itu. Seseorang lalu berkata kepadanya (orang
yang merah padam mukanya): "Sesungguhnya Nabi SAW bersabda: Mohonlah
perlindungan kepada Allah SWT daripada syaitan yang direjam."
Tindakan-tindakan yang lahir daripada keadaan marah yang tidak
terkawal meninggalkan kesan yang sangat besar dalam kehidupan seseorang.
Lihat sahaja orang terkenal dengan sifat pemarah, adakah disenangi oleh
rakan-rakannya? Cercaan yang lahir daripada sifat marah akan
menimbulkan ketegangan dan perpecahan hati sesama manusia.
Menahan kemarahan dengan bersabar dan memaafkan kesalahan orang lain
adalah satu sifat yang terpuji untuk mengelakkan perpecahan hati.
Rasulullah SAW banyak mengajar dan memberi panduan kepada umat manusia
dalam mengubati perasaan marah yang merupakan pintu masuk syaitan ke
dalam diri manusia. Segeralah berwudhuk jika terdapat sesuatu yang
menimbulkan kemarahan.
Rasulullah SAW juga bersabda: Apabila salah seorang antara kalian
marah sedangkan dia berdiri maka hendaklah dia duduk, agar kemarahannya
hilang, apabila masih belum reda maka hendaklah dia baring. (Hadis riwayat Abu Daud)
Sungguh indah apa yang dilantunkan oleh Rasulullah SAW agar menjadi
pedoman kepada umatnya. Ini kerana orang yang dikatakan gagah dan kuat
ialah yang dapat menahan diri apabila dalam keadaan marah. Oleh itu,
kita perlu menjadi kuat agar dapat menahan dan melawan perasaan marah
apabila menjelma bukannya mengikut nafsu amarah tersebut.
Dalam konteks masyarakat semasa, pergaduhan dan pertengkaran akibat
kemarahan yang meluap-luap perlu dibanteras dalam diri agar ia tidak
mengancam kesejahteraan masyarakat. Walaupun mempunyai pendapat dan
fahaman yang berbeza, kaedah yang matang dan berkesan perlu digarapkan
untuk mengelakkan permusuhan.
Usah dipanjangkan amarah dan jalinkan muhibbah dalam kesabaran
melawan api permusuhan. Ini kerana marah menimbulkan perpecahan maka
ubatilah marah untuk mengelakkan perpecahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan