11 Disember 2012

Duta Palestin puji rakyat Malaysia

WAN Adnan Wan Mamat (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada Abdul Aziz Abughoush (tengah) di pekarangan bangunan UMNO Bahagian Kuantan, Kuantan, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI 
*****
KUANTAN 9 Dis. - Rakyat Palestin berbangga dan memuji semangat kesatuan yang ditunjukkan masyarakat negara ini tanpa mengira fahaman politik dalam isu membabitkan serangan terbaharu Yahudi ke atas negara mereka.
Duta Khas Palestin ke Malaysia, Abdul Aziz Abughoush berkata, beliau kagum dengan semangat dan solidariti rakyat Malaysia yang konsisten bagi pembebasan dan pembentukan sebuah negara Palestin sejak dahulu lagi.
Sambil menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tokoh yang wajar dicontohi, Abdul Aziz menghargai keberanian Malaysia mengecam tindakan rejim Zionis dan menyuarakannya sendiri kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
"Palestin amat memuji semangat Malaysia dalam isu ini, solidariti ditunjukkan rakyat Malaysia amat kami kagumi.
"Sokongan konsisten Malaysia bagi pembebasan dan pembentukan sebuah negara Palestin berdaulat sejak dulu juga membuktikan negara ini mengambil berat terhadap nasib kami," katanya pada Majlis Pelancaran Tabung Selamatkan Palestin di pekarangan bangunan UMNO Bahagian Kuantan, di sini semalam.
Majlis itu dihadiri kira-kira 1,500 orang selain disertai Exco kerajaan negeri yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Wan Adnan Wan Mamat; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah dan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mohd. Hazmi Yusof.
Menurut Abdul Aziz, keputusan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf Palestin sebuah negara pemerhati pada 29 November lalu turut membimbangkan Yahudi dan membuktikan sokongan masyarakat dunia sudah membuka jalan kepada pembebasan penuh Palestin.
"Konflik lapan hari yang dimulakan rejim Zionis pertengahan November lalu telah mengorbankan ramai orang awam termasuk kanak-kanak.
"Mereka melancarkan 1,500 serangan udara dan darat, menggugurkan 1,000 tan bahan letupan di Semenanjung Gaza kerana hanya mahu menguji sistem persenjataan baharu yang dimiliki mereka," jelasnya.
Sementara itu, Wan Adnan yang juga pengerusi penganjur berkata, pihaknya menjangka mengumpul sebanyak RM100,000 pada hari pertama Tabung Selamatkan Palestin dilancarkan.
"Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob telah membuat sumbangan sebanyak RM50,000 dan UMNO Bahagian Kuantan turut menyumbang sebanyak RM10,000.
"Kita akan menempatkan tabung ini di 24 Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebelum diserahkan kepada Kedutaan Palestin dalam tempoh sebulan," katanya.
Tambah Wan Adnan, beliau turut menyeru badan-badan korporat supaya memberi sumbangan dalam bentuk duit, makanan atau ubat-ubatan.

Tiada ulasan: