27 Disember 2012

Deepak, Guan Eng, Gobind dan Tony perlu buat penjelasan

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Dakwaan pemimpin pakatan pembangkang menjelaskan hutang ahli perniagaan, Deepak Jaikishan berjumlah RM170 juta kepada Kuwait Finance House menimbulkan pertanyaan berhubung syarat yang dikenakan pihak berkenaan kepada Deepak.
Bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong berkata, dakwaan itu turut mencetus persoalan sama ada perkara tersebut berkait rapat dengan permohonan keahlian Deepak dalam DAP.
Dalam hubungan itu, Lum Yong mendesak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan berapa lamakah hubungan sulit 'politik' yang terjalin antara Deepak dengan pemimpin-pemimpin dalam pakatan pembangkang.
"Kita desak Guan Eng memberitahu status Deepak dalam DAP. Apakah Deepak akan menyertai DAP selepas hutangnya dengan Kuwait Finance House dilangsaikan pakatan pembangkang atau keahliannya akan diterima sebelum atau selepas pilihan raya umum akan datang.
"Guan Eng juga perlu jelaskan sama ada kegiatan 'Smear PM and Family' oleh Deepak dirancang pakatan pembangkang atau Suara Rakyat Malaysia (Suaram)," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa pihak mendesak Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menjelaskan secara terperinci kaedah pakatan pembangkang menjelaskan segala hutang Deepak dengan Kuwait Finance House.
Selain itu, Deepak turut didesak membuat sidang akhbar sekali lagi bagi menjelaskan kaitannya dengan pelbagai isu terutama perkara-perkara yang berunsurkan 'skandal politik'.
Dalam pada itu, Lum Yong turut mendesak Guan Eng mengarahkan Gobind dan Tony menjelaskan berhubung kontroversi membabitkan Deepak itu memandangkan kedua-dua pemimpin berkenaan sehingga kini masih berdiam diri.

Tiada ulasan: