27 Disember 2012

Guan Eng cuba alih isu balak - Ali Rustam

NIBONG TEBAL 25 Dis. - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng didesak memberi penjelasan berhubung dakwaan dua pemimpin parti itu di Perak yang ditawarkan tanah bernilai lebih RM30 juta di Gua Musang, Kelantan sebagai syarat menerima wakil Pas, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak pada 2008.
Tindakannya menggesa kerajaan membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam kitab Injil versi Bahasa Melayu di Semenanjung dilihat sebagai cubaan untuk mengalihkan isu berkenaan daripada rakyat.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Guan Eng perlu menyatakan siapa dalang dalam sebuah syarikat yang mendapat projek pembalakan di Kelantan.
"Biarkan dia (Guan Eng) berseorangan bercakap (isu perkataan Allah). Kita nak tanya dia isu balak ini macam mana kesudahannya.
"Kita mahu bincang hal balak dulu, isu kalimah Allah sudah dibincangkan dahulu," katanya.
Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat agung ke-18 Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), di sini hari ini.
Guan Eng dalam perutusan sempena Hari Krismas semalam mendesak kerajaan membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam kitab Injil versi Bahasa Melayu seperti yang diamalkan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu.
Blog pisau.net baru-baru ini mendedahkan mengenai pemberian tanah balak lebih 4,000 hektar di Gua Musang oleh Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming.

Tiada ulasan: