27 Disember 2012

Tuntut penjelasan mengenai isu pemberian tanah di kawasan Relai

KOTA BHARU 25 Dis. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kelantan berhimpun secara aman di hadapan pejabat Yayasan Islam Kelantan (YIK), Nilam Puri, di sini semalam bagi menyerahkan memorandum menuntut penjelasan berhubung isu pemberian tanah di kawasan Relai Gua Musang kepada dua pemimpin DAP Perak.
Memorandum tersebut diserahkan oleh Ketua Wira Perkasa negeri, Azman Yazib kepada pihak YIK yang diwakili Timbalan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Ahmad Shukeri Ismail dalam suasana harmoni.
Azman berkata, berdasarkan maklumat diterima, tanah di kawasan itu asalnya diserahkan oleh kerajaan negeri kepada YIK pada 13 September 2000 dan telah dipajak oleh syarikat Upayapadu Plantation.
Menurutnya, mengikut laporan yang dikeluarkan oleh pisau.net tempoh hari, tanah tersebut diberikan kepada dua ADUN DAP itu sebagai balasan pelantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
"Apakah justifikasi Nik Abdul Aziz selaku Pengerusi YIK meluluskan tanah tersebut kepada dua pemimpin DAP itu. Adakah kelulusan tanah tersebut atas dasar kepentingan politik atau ekonomi.
"Selain itu, pihak kami mempersoalkan kenapa pemberian tanah tersebut dibuat secara rahsia sedangkan kerajaan negeri sentiasa mengatakan mereka adalah kerajaan yang berintegriti, akauntabiliti dan terbuka," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Katanya, selaku rakyat negeri ini, pihaknya berhak tahu atas tujuan apakah tanah tersebut diberikan sedangkan kedua-dua tokoh berkenaan tidak memberikan sebarang sumbangan kepada rakyat di negeri itu.
Utusan Malaysia 20 Disember lalu melaporkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan dakwaan kononnya beliau memberikan tanah bernilai lebih RM30 juta kepada pemimpin DAP, Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming sebagai habuan memastikan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin dilantik Menteri Besar Perak pada 2008.
Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas mendakwa, berita tersebut adalah fitnah daripada Utusan Malaysia dan beliau akan mendapatkan khidmat nasihat daripada peguamnya untuk menyaman akhbar ini.

Tiada ulasan: