30 Disember 2012

Gondol hutan: Hentikan jenayah alam sekitar

PORTAL Malaysian Insider baru-baru ini memetik Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Noor, sebagai berkata, kerajaan negeri Kedah mahu melaksanakan projek perladangan di Tasik Pedu. Dia mempersoal kesahihan laporan yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia sebelumnya.
"Mana ada rosak teruk? Utusan ini pembohong, memutarbelit fakta", katanya kepada wakil portal itu.
Katanya lagi, kerajaan negeri masih belum terima apa-apa surat dari Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang mengarahkan negeri itu memberhentikan aktiviti penebangan. "Kita tak dapat apa- apa surat dari kementerian, tak ada pun," tegasnya.
Pun begitu, dia tidak menafikan pembalakan ada berlaku di tiga kompartment atau kawasan, melibatkan kira-kira 600 ekar tetapi semua aktiviti pembalakan itu "telah disetujui oleh Jabatan Perhutanan".
"Ini bukan cerita pembalakan haram seperti yang berlaku di beberapa buah negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN). Tidak ada pula masa itu media-media utama menyewa helikopter mengambil foto dari udara lalu melaporkan BN rakus gondolkan bukit," sambungnya lagi.
Barangkali arahan Menteri Sumber Asli itu "belum diterima" oleh kerajaan negeri Kedah pada hari Muhammad Sanusi ditemubual wakil Malaysian Insider; maklum sahaja, pada minggu itu ramai antara kita yang dalam mood cuti sempena perayaan Hari Natal.
Apa pun, fakta jelas menunjukkan Menteri Sumber Asli telah mengarahkan semua aktiviti pembangunan dan pembalakan di Gunung Inas serta Pedu di Kedah "dihentikan serta-merta" sehinggalah laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang baru siap.
Datuk Seri Douglas Uggah Embas dipetik berkata, Kementeriannya sudah maklumkan arahan itu kepada Jabatan Perhutanan Kedah untuk dikuatkuasakan dan menyampaikannya kepada Kerajaan Pas Kedah. Barangkali Jabatan Perhutanan Kedah belum sempat sampaikan arahan Menteri itu kepada Pejabat Menteri Kedah.
Soalnya, apakah kerajaan negeri Kedah wajib patuhi arahan Menteri Sumber Asli itu?
Dalam pada itu, mengikut laporan Utusan Malaysia juga, kertas siasatan isu balak ini telah "dihantar ke Peguam Negara bagi tujuan pendakwaan". Setakat ini kita belum dengar lagi apa-apa reaksi atau kenyataan mengenainya dari Jabatan Peguam Negara. Pastinya ramai anak negeri jelapang padi ini ingin tahu siapa yang sedang disiasat dan siapa pula (jika ada) nanti akan diheret ke mahkamah.
Sedikit masa dulu saya pernah bertanya seorang Ketua Jabatan yang masih berkhidmat di negeri ini apakah benar bahawa pada ketika itu (aktiviti pembalakan telah pun dijalankan) kerajaan negeri belum lagi terima kelulusan EIA? Beliau jawab "Betul".
Andainya kita lakukan aktiviti penebangan balak dan pembangunan kawasan hutan (sama ada untuk projek Ladang Rakyat, Taman Buah-buahan, pelancongan agro atau apa sahaja), terutama di kawasan tanah tinggi atau tadahan air tanpa mendapatkan kelulusan EIA, hakikatnya telah melakukan jenayah alam sekitar. Dalam bahasa mudah, kita telah melakukan satu mala petaka.
Yang menghairankan, semua orang tahu bila pokok telah ditebang dan hutan telah digondolkan, akibat buruk yang menimpa kita tidak boleh diatasi sepenuhya. Semua orang sedar keadaan sekeliling tidak boleh dikembalikan seperti dulu. Kerosakan dan kemusnahan yang berlaku adalah irreversible. Tapi, demi mengejar hasil, ia masih tetap dilakukan.
Barangkali sesiapa yang ingin menjadi calon untuk memerintah negeri mesti diajar dahulu makna "pembangunan lestari". Ia mengandungi tiga komponen penting - pembangunan ekonomi, penjagaan alam sekitar, dan kesejahteraan rakyat. Ramai yang nampak komponen pertama sahaja.
Kemusnahan alam sekitar berlaku di mana-mana. Dulu kita melihat ia berlaku di Cameron Highlands. Kini kita melihatnya di negeri jelapang padi ini. Percayalah, mana- mana kerajaan yang membiarkan kemusnahan alam berlaku dan tidak mempedulikan kesejahteraan rakyat, akan meninggalkan satu legasi yang pasti akan mengaibkan pemimpin dan anggotanya sampai bila-bila.

Tiada ulasan: