30 Disember 2012

Minta PM bertegas

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta bertegas dan jangan sesekali tunduk dengan gesaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya kalimah Allah boleh digunakan dalam Bible versi Melayu.
Bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, ketegasan itu perlu memandangkan permintaan Guan Eng tersebut amat melampau.
‘‘Bahkan kita di Pulau Pinang selepas solat Jumaat esok di hadapan Masjid Simpang Enam (Pulau Pinang) akan berhimpun dan membantah puak pelampau DAP.
‘‘Kita umat Islam di Pulau Pinang akan terus bangkit menentang habis-habisan kerana permintaan Guan Eng ini sememangnya melampau,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Guan Eng dalam ucapan Krismasnya baru-baru ini yang menggesa kerajaan membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.
Ekoran kenyataan tersebut, Guan Eng telah dikecam oleh pelbagai pihak malah Presiden Pertubuhan Jalur Tiga, Datuk Dr. Hasan Ali menyifatkannya sebagai motif politik Ketua Menteri Pulau Pinang itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
Menjawab satu pertanyaan Mohamed Hafiz yang juga Pengerusi Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Guan Eng itu benar-benar menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini terutama dalam konteks umat Islam Pulau Pinang.
‘‘Banyak pihak yang marah dan atas sebab itu kita menggesa Perdana Menteri jangan layan dengan permintaan Guan Eng ini.
‘‘Setakat hari ini sahaja 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah bergabung dan kami percaya esok akan menjadi lebih besar lagi,’’ katanya.

Tiada ulasan: