PULAU PINANG 5 Dis. - Ketua Menteri, Lim Guan Eng dikatakan berada
dalam keadaan begitu terdesak sehingga sanggup menanam perasaan benci
terhadap UMNO ketika menghadiri satu majlis makan malam yang dihadiri
oleh penganut pelbagai agama.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman
berkata, sebagai pemimpin tertinggi kerajaan negeri, Guan Eng sepatutnya
mengajak para hadirin mengamalkan kasih sayang, toleransi dan
keharmonian sesama mereka.
Menurutnya, Setiausaha Agung DAP itu sewajarnya memastikan perpaduan
kaum terus diperkuatkan, bukannya menyebar fitnah yang boleh menyebabkan
rakyat beranggapan UMNO merupakan sebuah parti ekstremis.
"UMNO Pulau Pinang amat dukacita dan kecewa dengan ucapan tidak
bertanggungjawab Guan Eng dalam sebuah majlis dihadiri oleh kumpulan
pelbagai agama baru-baru ini yang dilihat melampaui batas-batas
politik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas ucapan Guan Eng dalam program makan malam Majlis
Antara Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Pulau Pinang di
sini Ahad lalu.
Antara kandungan ucapannya, Guan Eng mendakwa, UMNO berpendirian
ekstremis dengan tidak menghormati hak orang bukan Islam seperti
mendakwa sebuah kuil Hindu dirobohkan oleh Penang Port Sdn. Bhd.
Selain itu, Setiausaha Agung DAP tersebut juga mendakwa pemimpin UMNO
tidak mengambil kira keperluan menyediakan tanah untuk pembinaan rumah
ibadat bukan Islam.
Teks ucapan tersebut boleh dilihat di blog milik Guan Eng di http://limguaneng.com.
Zainal Abidin memberitahu, jika benar UMNO parti ekstremis, tidak
mungkin rakyat pelbagai kaum di negara ini mampu hidup dalam keadaan
harmoni sejak lebih 55 tahun lalu.
"Kalau UMNO tidak menghormati hak bukan Islam, kita tidak mungkin
dapat melihat jumlah rumah ibadat agama bukan Islam melebihi bilangan
masjid dan surau di negeri ini.
"Kita juga tidak mungkin dapat melihat wakil rakyat Barisan Nasional
(BN) dan penyelaras kawasan memberi sumbangan kepada bukan Islam
sepanjang tahun," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan