JOHOR BAHRU 4 Dis. - Malaysia dan Singapura
dijangka mengumumkan cadangan 'menang-menang' bagi kedua-dua negara pada
Perundingan Tahunan tahun depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak, hari ini.
Beliau berkata, cadangan-cadangan itu termasuklah mercu tanda ikonik,
yang akan dibina di atas dua bidang tanah, yang merupakan sebahagian
daripada Perkara Perjanjian (POA) sebagai pertukaran bagi tanah Keretapi
Tanah Melayu di Singapura.
"Projek pusat kesejahteraan itu akan juga dilancarkan semasa
Perundingan Tahunan kita itu. Kita boleh menjangkakannya diadakan sama
ada pada akhir Januari atau awal Februari," katanya pada satu sidang
akhbar sempena Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Kelapan di sini.
Najib berkata, demikian ketika menyentuh isu-isu yang dibincangkan
semasa mesyuarat dua hala beliau dengan Timbalan Perdana Menteri
merangkap Menteri Kewangan Singapura, Tharman Shanmugaratnam, semasa
berlangsungnya forum itu.
"Mesyuarat itu berjalan dengan amat baik. Amat positif, sangat
sejajar dengan apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri, Lee Hsien
Loong kepada saya di Phnom Penh baru-baru ini bahawa kita harus buat
cadangan 'menang-menang'," kata beliau.
Menurut Najib, semasa mesyuarat selama 15 minit itu, mereka membincangkan projek kereta api berkelajuan tinggi.
"Singapura menyokong projek itu pada prinsipnya, tetapi tertakluk
kepada kajian terperinci yang akan kita kemukakan kepada mereka apabila
selesai kelak.
"Mereka menjangka ini boleh menjadi satu lagi cadangan 'menang-menang' bagi kedua-dua negara," katanya.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, Singapura akan terus
menjadi hab bagi pembangunan komersial dan kewangan, manakala selatan
Johor akan menjadi kawasan gaya hidup berkualiti tinggi.
"Ini boleh menjadi situasi 'menang-menang' kerana Johor meraih
manfaat daripada kebanjiran orang, bakat dan pengaliran masuk modal. Ini
baik bagi masa depan Johor," katanya.
Selain Tharmaratnam, Najib juga mengadakan rundingan dua hala dengan Presiden Comoros, Dr Ikililou Dhoinine.
Perdana Menteri berkata, semasa mesyuarat itu, Dhoinine menyuarakan
harapannya untuk mendapatkan lebih banyak pelaburan asing dalam kegiatan
pelancongan dan hiliran berhubung industri perikanan.
Malaysia menawarkan tempat-tempat untuk melatih warganya di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
Comoros ialah sebuah negara kepulauan berdaulat di Lautan Hindi dan
negara ketiga terkecil Afrika berdasarkan keluasan dengan penduduk
berjumlah kira-kira 798,000 orang. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan