KUALA LUMPUR 4 Dis. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
disifatkan sebagai terdesak mencari populariti apabila mendakwa
Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir Sabtu lalu menjadi medan untuk
menyerang beliau.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata,
perhimpunan tersebut merupakan platform parti itu menjelaskan tentang
fakta yang benar termasuk membahas serta menyampaikan mesej dan maklumat
kepada perwakilan dan rakyat.
Beliau yang juga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan
berkata, apa sahaja yang dibincang dan dibahaskan dalam perhimpunan
tersebut adalah berdasarkan fakta.
"Seharusnya tidak memusuhi secara peribadi kerana kami hanya
menyatakan kebenaran dari aspek dasar yang boleh dipertimbangkan dan
dinilai sendiri oleh rakyat secara positif," katanya ketika ditemui
pemberita selepas Himpunan Kasih Sayang Komuniti 1Malaysia Bersama Polis
Ampang Jaya di ibu pejabat polis berkenaan hari ini.
Anwar mendakwa perhimpunan agung itu gagal menyentuh isu asas
melibatkan kepentingan rakyat, sebaliknya menjadi medan serangan
terhadap pakatan pembangkang dan usaha untuk menakut-nakutkan rakyat
menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Dalam kenyataan itu juga, Anwar menuduh ucapan dasar Presiden UMNO,
Datuk Seri Najib Tun Razak dipenuhi serangan terhadap pemimpin pakatan
terutama ke atasnya.
Mengulas program hari ini, Rais berkata, program itu bertujuan
menghargai sumbangan anggota polis dalam menjaga keselamatan,
ketenteraman dan kesejahteraan di negara ini.
"Polis memerlukan sokongan semua pihak dalam usaha membanteras jenayah di negara ini," katanya.
"Diharapkan program ini mampu mengeratkan hubungan mesra dan menjadi
platform interaksi antara pemimpin dan PDRM dengan masyarakat setempat,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan