
Dr. Mahathir Mohamad bersalam dengan
sebahagian pelajar universiti ketika hadir untuk menyampaikan ucaptama
pada Seminar Ketahanan Nasional 3 - Mengekalkan Kedaulatan Negara di
Ayer Keroh, Melaka, semalam. - BERNAMA
*****
MELAKA 4 Dis. - Tun Dr. Mahathir Mohamad
berpendapat, negara akan mengalami kehancuran dan kecelaruan jika
pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, hal ini kerana kerajaan yang akan
dibentuk oleh pembangkang merupakan kerajaan campuran daripada tiga
parti yang tidak mempunyai matlamat dan hala tuju sama.
Beliau menarik perhatian keinginan Pas untuk menjadikan Malaysia
negara Islam ditentang oleh DAP manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR)
yang bertindak sebagai orang tengah hanya mensasarkan kemenangan Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Keadaan ini memang bahaya, kadang-kadang apabila kita berada dalam
keadaan selamat, kita tidak fikir akan jadi tidak selamat, kita selamat
sebab memilih pemerintah yang prihatin.
"Ini terpulang kepada rakyat, namun ada yang mengundi mengikut emosi
dan taksub walaupun pemimpin jelas menyatakan sesuatu yang bertentangan
dengan Islam.
"Apabila rakyat tidak menggunakan pemikiran dan mengundi semata-mata
kerana perasaan, besar kemungkinan negara kita akan hancur. Sebab itu
kita lihat banyak negara tidak dapat laksanakan cara-cara demokrasi
kerana ketaksuban kepada pemimpin, bukan untuk membangunkan negara,"
katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama Pembinaan Negara Bangsa pada Seminar Ketahanan Nasional 3 - Mengekalkan Kedaulatan Negara di Puteri Resort, Ayer Keroh di sini hari ini.
Seminar tiga hari bermula semalam itu dianjurkan oleh Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia.
Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, rakyat kini mula sedar bahawa
pada pilihan raya lalu, mereka membuat pilihan berdasarkan rasa marah
kepada sesuatu.
"Faktor ini telah pun mereka ketepikan, kita patut rapatkan kembali
barisan supaya dapat dirikan sebuah kerajaan yang kuat iaitu mendapat
kemenangan dua pertiga," katanya.
Sementara itu dalam ucaptamanya, Dr. Mahathir berkata, Malaysia tidak
perlu mengikut konsep Negara Bangsa seperti kebanyakan negara lain
kerana terikat dengan masalah kaum yang tidak mahu mengetepikan identiti
asal mereka.
Kata beliau, Malaysia lebih liberal dan bertimbang rasa kerana
membenarkan kaum lain mengamalkan agama, budaya dan bahasa ibunda
masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan