30 Disember 2012

Kekayaan: Sikap bisu Karpal dipersoal

IPOH 28 Dis. - Pelbagai pihak mempersoalkan sikap membisu Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam isu melibatkan dua pemimpin kanan DAP Perak yang didakwa memiliki kekayaan luar biasa termasuk terlibat dalam projek pembalakan bernilai jutaan ringgit di Kelantan.
Ini kerana Karpal sebelum ini dilihat bertegas mahukan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Setiausahanya, Nga Kor Ming dihadapkan ke Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC), tetapi sehingga kini tidak dilakukan.
Presiden Pertubuhan Wawasan Rakyat Perak, Fauzi Muda berkata, sikap berdiam diri Karpal itu seolah-olah beliau sebagai pemimpin tertinggi DAP tidak mampu melawan kumpulan yang tidak menyukainya di dalam parti.
“Karpal tidak bersetuju, tetapi beliau seolah-olah terpaksa mengalah kerana isu ini mungkin melibatkan kumpulan yang menentangnya. Saya yakin beliau sendiri faham di mana kedudukannya.
“Bagi isu ini, kita cukup hairan dari mana datangnya kekayaan dua pemimpin ini hingga mampu mengumpul puluhan juta ringgit. Sebagai parti yang lantang di pentas-pentas ceramah menentang unsur kroni, salah laku dan rasuah, kita mahu kategorikan apa mereka ini?
“Semua prinsip yang mereka canangkan sebelum ini tidak langsung bertepatan dengan prinsip yang dilaungkan kerana dalam diam-diam mereka sendiri melakukan perkara sama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Karpal sebelum ini dilaporkan berkata, dakwaan tersebut amat serius dan perlu dibawa kepada CEC DAP, tetapi Koo Ham dalam reaksinya memberitahu Karpal mungkin terlepas pandang kerana isu tersebut sudah dijelaskan.
Ketua Penerangan Kesatuan Anak Melayu Islam Perak, Hafizul Abdul Hamid berkata, kenyataan bercanggah antara kepimpinan DAP dalam isu tersebut menggambarkan berlaku kepincangan dalam parti pembangkang itu.

Tiada ulasan: