30 Disember 2012

Amanat: Hadi dicabar jadi gentleman

KUALA TERENGGANU 28 Dis. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Terengganu mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar segera tampil secara gentleman memberi penjelasan, sekali gus meleraikan kekalutan kesan daripada Amanat Haji Hadi yang beliau cetuskan pada 1981.
Yang Dipertuanya, Ismail Saamah menegaskan, Presiden Pas itu tidak perlu gentar untuk menyatakan pendiriannya berhubung isu itu sekiranya amanat berkenaan yang menjadi pegangan ahli Pas tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Beliau berkata, Abdul Hadi perlu bertanggungjawab menyelesaikan kekeliruan serta perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam hanya kerana perbezaan fahaman politik Pas dan UMNO sehingga umat Islam di negara ini berpecah-belah.
“Perkasa Terengganu cabar Haji Hadi supaya tampil dengan segera, kenapa perlu takut. Keluarlah dan jika beliau rasa betul (Amanat Haji Hadi), buktikan saja.
“Jadilah seorang pemimpin yang bertanggung jawab dan gentleman. Ini soal Islam dan jangan biarkan orang Melayu dan umat Islam di negara ini berterusan begini (pecah belah dan bermusuhan)," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tiada ulasan: