30 Disember 2012

Rakyat tolak politik bersimpang-siur

PUCUK pemimpin parti-parti politik di tanah air sama ada parti pemerintah ataupun pembangkang tentunya sudah mempunyai senarai calon-calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang berkemungkinan diadakan dalam tempoh tidak lama lagi.
Semestinya pemilihan calon-calon tersebut telah melalui proses penelitian dari pelbagai aspek dan strategi mengikut kehendak dan kriteria yang dipersetujui jawatankuasa pemilihan sesebuah parti.
Secara umumnya, ia boleh dianggap sebagai pemilihan secara tertutup kerana keperincian kriteria dan indikasi pemilihan calon tidak pernah diumumkan hatta kepada ahli biasa parti apatah lagi kepada rakyat setempat.
Umum hanya mengetahui faktor-faktor pemilihan tersebut secara am yang merangkumi aspek-aspek luaran. Antara contoh- contoh faktor pemilihan yang biasa dilihat adalah calon yang berpendidikan tinggi, calon tempatan, calon yang dianggap berkredibiliti yang dibawa dari luar kawasan, calon yang merupakan ahli perniagaan yang mempunyai latarbelakang kewangan yang kukuh dan tidak kurang juga calon yang 'mewarisi' karier politik dari keluarganya.
Dengan kata lain, boleh dikatakan bahawa pemilihan calon-calon wakil rakyat ini lebih bersifatkan percaturan politik yang berorientasikan parti dan ia juga merupakan pemilihan yang agak subjektif.
Pilihan raya adalah merupakan proses pemilihan wakil kepada rakyat, wakil yang akan berkhidmat untuk rakyat dan juga melaksanakan penambahbaikan untuk rakyat.
Namun kebelakangan ini, konsep pilihan raya ini seolah-olah disalah tafsir sebagai pemilihan wakil kepada parti untuk berkhidmat kepada rakyat sedangkan ia adalah pemilihan wakil kepada rakyat yang diamanahkan kepada sesebuah parti selepas memenangi proses pemilihan pada sesuatu pilihan raya tersebut.
Percaturan politik yang sebegini, iaitu percaturan yang berorientasikan parti ini ternyata telah menimbulkan banyak masalah yang tidak rasional, antaranya krisis-krisis dalaman parti sebelum pilihan raya seperti 'cah keting' antara ahli parti yang menjadi salah satu penyumbang kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lalu di beberapa buah negeri.
Ia juga mengundang permasalahan diskriminasi fahaman parti selepas pilihan raya yang mengakibatkan ketidakserataan dari segi bantuan dan segala bentuk kemudahan dan masalah yang lebih kronik lagi ialah terpilihnya wakil yang tiada kredibiliti kepimpinan yang sebenar melainkan kebolehan berpidato di khalayak ramai.
Kewajaran pemilihan yang sedemikian perlu kita persoalkan, pemilihan calon berorientasikan rakyat perlu dilaksanakan dan semestinya alternatif bagi membolehkan pemilihan calon secara lebih objektif oleh rakyat perlu difikirkan demi memartabatkan suasana politik di Malaysia.
Alternatif yang saya ingin kemukakan ini berkait rapat dengan kata-kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang menarik perhatian ramai iaitu - ''Sekiranya anda ingin menjadi pemimpin, anda mestilah mempunyai idea, sebaliknya jika tidak, anda hanyalah sekadar pengikut''.
Ada kebenaran di sebalik kata-kata Dr. Mahathir yang boleh diguna pakai di arena politik Malaysia pada masa kini. Justeru calon-calon pemimpin yang bakal bertanding seharusnya mempunyai idea-idea tentang perancangan kemajuan yang spesifik untuk sekurang-kurangnya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ataupun Parlimen yang dipertandingkan sekira tidak pada peringkat negara.
Idea perancangan kemajuan untuk tempoh 4 tahun ke hadapan yang merangkumi sektor ekonomi, sektor pendidikan dan pelbagai lagi sektor yang diperlukan mengikut keperluan DUN ataupun Parlimen setempat berserta dengan cadangan cara pelaksanaan yang terperinci haruslah digariskan di dalam satu kertas kerja.
Dengan adanya pelaksanaan kertas kerja sebegini pucuk pimpinan parti dan juga rakyat secara keseluruhannya akan dapat menilai secara lebih objektif tentang kepimpinan individu dan secara tidak langsung ia juga akan menjadi aras menilai prestasi kepimpinan dengan lebih telus dan objektif untuk rujukan rakyat pada pemilihan di pilihan raya yang akan datang.
Ia juga akan mendorong ahli-ahli politik untuk berkempen dengan lebih berhemah dengan menitik beratkan soal-soal permasalahan rakyat dan tidak hanya memfokuskan keburukan pihak lawan sebagaimana yang berlaku pada masa ini.
Krisis dalaman sesama ahli parti juga boleh dikurangkan di atas dasar pemilihan calon yang mempunyai perancangan terbaik dan sesuai dari segi perlaksanaan yang merujuk kepada pembentangan kertas kerja yang dinilai oleh pucuk pimpinan parti masing-masing.
Kertas kerja calon yang terpilih seharusnya didedahkan kepada umum bagi membolehkan rakyat menilai secara individu dan seharusnya juga menjadi satu item wajib yang perlu diserah oleh setiap bakal wakil rakyat di hari penamaan calon.
Tidak dinafikan bahawa alternatif yang dikemukakan mempunyai ciri-ciri yang terlalu naif untuk diketengahkan apatah lagi untuk dilaksanakan, namun begitu saya merasakan bahawa politik yang naif adalah politik yang sebenarnya diperlukan oleh rakyat dan bukan lagi politik yang bersimpang-siur yang jauh arahnya dari rakyat yang sepatutnya berada di pusat medan percaturan.

Tiada ulasan: