13 Disember 2012

Pas jejas imej hudud kepada bukan Islam

Beberapa ahli parti Gerakan cawangan Negeri Sembilan mencuci dan memotong rambut di sebuah kedai gunting sebagai mencabar undang-undang kerajaan negeri di Kota Bharu, semalam. - BERNAMA 
*****
KOTA BHARU 11 Dis. - Kontroversi pelaksanaan undang-undang Islam terhadap bukan Islam di negeri ini yang hangat diperkatakan dalam akhbar berbahasa Inggeris ketika ini telah menjejaskan imej agama suci tersebut.
Setiausaha Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, isu tersebut timbul disebabkan kegagalan kerajaan Pas Kelantan memberikan kefahaman tentang undang-undang Islam sebelum ia dilaksanakan.
Beliau berkata, sewajarnya kerajaan negeri perlu berhati-hati ketika merangka dan melaksanakan undang-undang berkaitan Islam agar ia tidak disalahtafsirkan oleh masyarakat bukan Islam di negara ini.
"Perkara macam ini boleh menyebabkan imej Islam tercemar padahal perkara sebenar bukan begitu.
"Sekarang orang yang melaksanakan undang-undang mentafsirkannya mengikut kehendak mereka tanpa mengambil kira perkara yang sepatutnya dalam pelaksanaan tersebut.
"Selama ini Pas selalu kata hudud tidak melibatkan bukan Islam, sekarang dia tangkap bulan Islam. Dia pandai sangat sembahyang hajat, sekarang Allah jatuhkan kepada mereka kembali, sekarang jawablah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyaman kedai gunting rambut di sebuah pasar raya yang memberikan perkhidmatan tanpa mengira jantina dan dua pasangan bukan Islam yang berkelakuan tidak senonoh.
Isu itu menimbulkan bantahan MCA, DAP dan sayap bukan Islam Pas, Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang mendesak undang-undang Islam yang dikenakan terhadap bukan Islam dikaji semula.
Md. Alwi yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kelantan berkata, kekalutan yang timbul itu jelas menunjukkan kepada semua bahawa hudud Pas adalah berbeza daripada hukum hudud sebenar.
"Kita kata kita nak tentang hudud Pas, bukan hudud Islam. Hudud Islam itu jelas. Itu belum sampai kepada peringkat yang lebih kompleks seperti khalwat melibatkan pasangan bukan Islam dan Islam. Macam mana dia nak buat?
"Kalau dia ambil pelaksanaan sama, Islam kena tapi bukan Islam tidak kena, jadi tak adil sebab itu kita kata perlu hati-hati dalam masyarakat majmuk seperti ini. Sepatutnya Pas beri penjelasan supaya rakyat memahami sebelum melaksanakannya," katanya.
Katanya, isu itu jelas menunjukkan Pas hanya menggunakan hudud sebagai senjata mereka untuk meraih sokongan di peringkat akar umbi.
"Sebab itu sampai sekarang jawatankuasa pelaksanaan masih tidak bermesyuarat walaupun diluluskan lebih 20 tahun lalu.
"Malah sudah beberapa kali Hakim Mahkamah Syarie Kelantan, Datuk Mohamad Daud kata ia boleh dilaksanakan," katanya.

Tiada ulasan: