13 Disember 2012

Putih yang tidak menyucikan

JANJI MANIFESTO...Ibu tunggal,Zabeeh Hasan 56, menunjukkan poster penyalahgunaan wang rakyat semasa ibu-ibu tunggal hadir bagi menuntut elaun gaji yang dijanjikan oleh kerajaan negeri Selangor di Kampung Kenanga, Rawang, baru-baru ini. 
*****
Pada 2009, kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan pelan mendapatkan semula hutang syarikat Talam Corporation yang berjumlah RM392 juta kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri. Dr. Mohamad Khir Toyo mengkritik pelan ini sebagai permainan silap mata akauntan yang juga diketahui sebagai "round-tripping."
Namun Khalid dengan retorik politiknya berjaya meyakinkan sebahagian rakyat bahawa ini merupakan cara terbaik untuk menuntut kembali hutang. Beliau turut menuduh pentadbiran Selangor di bawah Barisan Nasional (BN) tidak membuat sebarang usaha untuk menuntut hutang tersebut.
Setelah lebih setahun berlarutan, isu Talam tidak nampak jalan penyelesaian sebaliknya bertambah serius apabila Datuk Chua Tee Yong, Ketua Biro Muda Profesional MCA mendakwa wujud penyelewengan bernilai hampir RM1 bilion dalam pelaksanaan pelan ini.
Kerajaan negeri Selangor dikatakan membeli tanah pajakan milik Talam dengan harga RM42 juta lebih tinggi daripada harga pasaran dan keadaan tanah tersebut mempunyai komplikasi tanah iaitu berada di bawah air dan kawasan simpanan hutan.
Seperti biasa Khalid bijak bermain silap mata dan kata-kata, kali ini dengan mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menyediakan Kertas Putih berkaitan kutipan hutang Talam Corporation Berhad (Talam). Janji beliau dalam Kertas Putih tersebut segala transaksi adalah telus dan akan dijelaskan secara terperinci.
Pada pertengahan September, kerajaan Selangor mengupah auditor bebas untuk melaksanakan tugasan audit. Malangnya, tugasan audit tidak menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan terutama pembelian harga lebih tinggi sebaliknya hanya menyemak transaksi urus niaga dokumen berkaitan sahaja.
Kerajaan negeri itu turut mengeluarkan 15 soalan lazim (FAQ) berkaitan isu ini dan turut sama mengadakan sesi jelajah ke seluruh negeri bagi memberi penerangan mengenai isu ini.
Jika kita mengharap Kertas Putih "Pelunasan Menyeluruh Hutang Talam" menjernihkan yang keruh, memutihkan yang kelabu - ia nyata gagal sama sekali. Sebaliknya, kertas putih ini menunjukkan beberapa perkara yang jelas sekali bertentangan dengan kenyataan kerajaan negeri sebelum ini.
Jika sebelum ini Khalid mendakwa kerajaan di bawah BN tidak berbuat apa-apa terhadap hutang ini, kertas putih ini jelas sekali mengakui bahawa usaha mengutip semula hutang dimulakan oleh pentadbiran negeri yang lalu.
Jika sebelum ini Khalid menafikan sebarang tindakan "bail-out" atau menyelamatkan Talam, namun kertas putih ini menunjukkan ada ciri-ciri "penyelamatan" yang jelas. Ini kerana hutang Talam yang dipersetujui dalam perjanjian ini ialah RM392 juta tetapi jumlah keseluruhan pengambil alihan aset Talam dalam kertas putih ini ialah RM676,094 juta.
Menurut kertas putih itu, sebahagian daripada RM676, 094 juta ini akan digunakan untuk menyelesaikan hutang Talam kepada institusi kewangan dan pihak-pihak lain. Kerajaan negeri menggunakan alasan bahawa penyelesaian ini perlu bagi membolehkan mereka mengambil alih hartanah tersebut. Ini kerana sesetengah hartanah yang bakal diambil alih oleh kerajaan negeri telah dicagarkan oleh Talam kepada pihak ketiga.
Apakah proses penyelesaian hutang Talam kepada pihak lain ini melalui proses mengambil alih hartanah bukan merupakan kerja-kerja "bail-out'?
Salah satu transaksi yang sangat menimbulkan tanda tanya ialah yang dinyatakan oleh kertas putih sebagai "Tanah di Bukit Beruntung". Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta pada 2010 telah menilai tanah tersebut pada harga RM113 juta kerana ia masih berstatus tanah pertanian. Namun penilai Suleiman & Co menetapkan nilai tanah tersebut pada harga RM375 juta jika ia ditukar kepada tanah pembangunan bercampur. Tanah ini tidak dapat ditukar status kerana Talam tidak menjelaskan caruman peparitan berjumlah RM4 juta seperti yang dikehendaki oleh kerajaan.
Bagi membantu menaikkan nilai hartanah ini, kerajaan negeri telah membayar tunggakan RM4 juta tersebut dan menukar status tanah itu kepada pembangunan bercampur dan menggunakan laporan Suleiman & Co bagi memasukkan nilai hartanah tersebut dalam penyelesaian hutang Talam. Apakah ini bukan proses menyelamat atau "bail-out"?
Mengapa kerajaan negeri tidak mengambil hartanah tersebut pada penilaian Jabatan Harta tetapi mengambil penilaian yang lebih tinggi merupakan satu tanda tanya yang sangat besar. Dalam mana-mana pengambilalihan hartanah pun pemiutang akan sedaya upaya mengambil kira penilaian terendah, tetapi kerajaan negeri berusaha untuk mengambil penilaian paling tinggi.
Mengapa Jabatan Penilai Harta tidak dipanggil semula untuk menilai hartanah yang telah ditukar status itu - ia merupakan satu misteri.
Malahan lebih serius lagi, kenyataan-kenyataan dalam kertas putih yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri ini juga bertentangan sesama sendiri.
Dalam kesimpulan kertas putih, kerajaan negeri menyatakan, "Tidak ada apa-apa bayaran sama ada dalam bentuk tunai atau barangan pernah diberikan kepada Talam untuk mendapatkan tanah atau hartanahnya."
Kenyataan ini sangat mengelirukan dan cuba memberi gambaran bahawa seolah-olah Talam tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada urusan ini. Kenyataan "tidak pernah memberi" bukan bermaksud "tidak akan memberi" atau "tidak memberi secara tidak langsung."
Hakikatnya, Talam mendapat faedah daripada urusan ini begitu besar sehingga melunaskan banyak hutangnya dengan anak syarikat kerajaan negeri dan beberapa pihak lain tanpa perlu berbuat apa-apa pun. Talam juga telah bebas daripada PN17 yang dilabel mempunyai masalah kewangan.
Dalam para 3.4.7 kertas putih tersebut dengan jelas menyatakan bahawa lebihan hampir RM250 juta daripada transaksi ini (jumlah keseluruhan nilai hartanah yang diambil alih ditolak dengan RM392 juta) akan digunakan untuk membayar hutang Talam kepada institusi kewangan dan pemegang gadaian Talam yang lain. Bukankah ini bertentangan dengan bahagian kesimpulan kertas putih itu sendiri?
Malahan dalam para 3.4.7 (c) menyatakan, "Jumlah Lebihan yang dianggarkan RM30,523,762.49 akan dilunaskan oleh MBI (Perbadanan Menteri Besar) kepada Talam secara penyerahan tanah-tanah yang setara nilainya. Apakah ini bukan faedah yang diterima oleh Talam secara langsung? Malahan apakah tidak mungkin tanah yang akan diterima oleh Talam ini nanti di lokasi yang lebih strategik daripada sekarang?
Dari segi imej politik mungkin pakatan telah berjaya mengelirukan rakyat yang tidak membaca keseluruhan kertas ini bahawa mereka adalah parti yang telus dan terbuka. Kertas Putih ini juga dikeluarkan untuk menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak takut kerana mereka tidak melakukan sebarang kesalahan. Kononnya jika bersalah tentulah kerajaan negeri tidak berani mengeluarkan dokumen ini.
Namun jika kertas putih ini dianalisis dan dikaji secara mendalam, kita akan dapati bahawa kertas putih ini secara tersirat dan tersurat mengesahkan dakwaan BN bahawa wujud penyelewengan dan skandal yang memalukan. Kertas putih ini akhirnya sekadar menutup siri-siri pendedahan yang dikemukakan. Ternyata kertas putih ini tidak menyucikan.

Tiada ulasan: