15 Disember 2012

Pas yang tersepit, video besi dan tindakan ala taliban

KERAJAAN Pas Kelantan telah tersepit dengan dua isu kontroversi berhubung peraturan dan undang-undang ke atas orang bukan Islam, iaitu isu penangkapan “khalwat" pasangan lelaki di dalam sebuah kereta dan larangan menggunting rambut pelanggan berlainan jantina di salon.
The Flying Kick (theflyingkick.blogspot.com) membidas kerajaan Pas Kelantan yang menggunakan bukti rakaman video untuk mengambil tindakan terhadap pasangan lelaki yang berkelakuan tidak senonoh di dalam kereta di negeri itu baru-baru ini.
Katanya, tindakan kerajaan Pas Kelantan itu berbeza sama sekali dengan tindakan pemimpin mereka yang menolak bukti video yang dianggap sebagai “besi" berhubung rakaman video membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang pelacur China.
“Justeru, apabila Takiyuddin (Takiyuddin Hassan, Exco Kerajaan Tempatan, Budaya dan Pelancongan )mengancam para penentang kes tersebut dengan bukti video, sebenarnya ia memperlihatkan seolah-olah Pas Kelantan sudah tidak ada cara lain, melainkan terpaksa menggunakan apa yang mereka tentang dan hukumkan sebelum ini.
“Rupa-rupanya video pun boleh dijadikan saksi... ingatkan masih lagi berstatus besi yang tuli dan bisu," sinis blog ini.
Out Syed The Box (syedoutsidethebox.blogspot.com) menganggap kedua-dua kes tersebut membuktikan kerajaan Pas gemar mempermainkan hukum Tuhan dengan membuat pindaan dengan sesuka hati seolah-olah hukum itu fleksibel mengikut keadaan.
“Sekarang ini Pas kata mereka mempunyai bukti rakaman video “besi" untuk mengambil tindakan terhadap dua lelaki Cina (berkelakuan tidak senonoh) di dalam kereta.
“Jadi kita lihat (sebelum ini) apabila rakaman video yang jelas di siang hari menunjukkan ketua mereka berbogel di atas katil bersama perempuan China, mereka kata video itu hanyalah besi. Sekarang apabila mereka mahu melaksanakan hukum agama ke atas bukan Islam, mereka kata mempunyai “video besi" sebagai bukti," katanya.
Berhubung penangguhan penguatkuasaan melibatkan salon milik bukan Islam, Darul Ehsan Today (darulehsantoday.blogspot.com) menganggap ia ada kaitan dengan situasi pilihan raya umum yang akan diadakan bila-bila masa.
Malahan, penangguhan undang-undang yang sudah lama dilaksanakan di Kelantan itu dibuat selepas mendapat desakan beberapa pemimpin tertinggi DAP.
“Ini bukti yang amat jelas bahawa Pas amat tertekan untuk mendapatkan undi bukan Melayu terutamanya masyarakat Cina dan lebih malang sekali perkara sekecil ini pun tertakluk kepada DAP inikan pula perkara perundangan Islam yang lebih besar seperti hudud," katanya.
Blog Pisau (pisau.net) pula dengan sinis berkata, “kuasa mukjizat Tok Guru yang mampu menukar air paip menjadi teh tarik pun tidak mampu menandingi kehebatan pimpinan DAP yang dibarisi khalifah dan tokong kesayangan para penyokong Pas sendiri."
Ini berikutan langkah kerajaan Pas Kelantan yang menangguhkan pelaksanaan undang-undang melarang salon menggunting rambut pelanggan berlainan jantina selepas “ditegur" oleh para pemimpin DAP.
“Selama ini beberapa kali bermuktamar, semua peringkat pimpinan Pas menyeru agar para penyokong dan ahli parti walaq kepada pemimpin. Pemimpin Pas pula walaq terhadap DAP. Inilah yang dikatakan ‘tahaluf siyasi’.
“Tahaluf siyasi’ dalam erti kata fahaman Pas, mereka harus tong sampahkan prinsip perjuangan...," katanya.
PAS BAGAI TALIBAN
Di sebalik isu tangkapan terhadap pasangan lelaki dan salon rambut di Kelantan, Pas dikatakan semakin bersikap ganas dan tidak menghormati sensitiviti kaum lain.
Blog Gelagat Anwar (gelagatanwar.wordpress.com) berkata, keadaan tersebut tidak disenangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau banyak menerima rungutan terutama selepas DAP dikatakan terpaksa membatalkan majlis tari menari di Bentong, Pahang ekoran bantahan berterusan Pas di kawasan tersebut.
Katanya, tindakan ala taliban oleh Pas itu merupakan langkah yang tidak sihat bagi hubungan DAP dan Pas yang sekali gus boleh menjejaskan pakatan pembangkang menjelang pilihan raya umum.
“Anwar sudahpun mengarahkan ‘macainya’ (pengikutnya) dalam Pas untuk mengambil tindakan. Jangan jadi taliban. Nanti PR (pakatan rakyat) pengsan. Mudah sahaja mesejnya.
“Anwar faham dengan masalah DAP, hujung minggu ini ada konvensyen. Kalau perwakilan bantai, meninggal DAP. Imej DAP yang takut kepada Pas tak elok untuk pengundi Cina. Mempunyai impak kepada undi orang Cina kepada PKR juga," kata blog ini.

Tiada ulasan: