15 Disember 2012

Sikap tidak konsisten Pas terserlah

TIADA apa-apa yang mengejutkan apabila Kerajaan Pas Kelantan membuat keputusan menangguhkan serta-merta penguatkuasaan semua syarat lesen kedai gunting rambut Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) yang membabitkan masyarakat bukan Islam di negeri itu.
Ia kerana semua pihak memahami bahawa demi mencari keuntungan politik terutamanya bagi menjaga hati rakan-rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Pas akan bersedia melakukan pengorbanan tersebut.
Kalaulah perjuangan untuk menubuhkan negara Islam yang berusia 61 tahun sanggup dikorbankan dan digantikan dengan perjuangan negara berkebajikan, apalah sangat kalau hendak dibandingkan dengan peraturan berusia 21 tahun.
Sebenarnya, isu kedai gunting rambut ini hanyalah contoh kecil bagaimana Pas sememangnya tidak konsisten dalam perjuangan Islamnya. Sejak berkawan dengan PKR dan DAP, Pas sudah dibuai dengan mimpi indah ke Putrajaya dan didodoikan dengan kedudukan dalam kerajaan kalau pakatan pembangkang berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Sebab itulah kita menyaksikan bagaimana kepimpinan Pas begitu bertolak ansur dengan pelbagai tindakan pemimpin-pemimpin PKR dan DAP. Malahan demi menjaga hubungan dengan kedua-dua parti itu juga, Pas bersedia menyingkirkan sesiapa sahaja yang dilihat boleh mengugat hubungan politik tersebut.
Itulah yang berlaku kepada bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali. Beliau bersungguh-sungguh untuk melaksanakan peraturan berkaitan Islam di negeri itu tetapi disebabkan ditentang oleh PKR dan DAP, Dr. Hasan akhirnya disingkirkan. Justeru apabila kerajaan Pas Kelantan membuat keputusan mengenai kedai gunting rambut tersebut, fahamilah kita kenapa Dr. Hasan dipecat.
Semua itu ada kaitannya dengan keterujaan Pas untuk mengejar kuasa bersama PKR dan DAP. Oleh itu yang mana boleh dikorbankan harus dikorbankan. Bagi Pas, perjalanan ke Putrajaya harus lancar dan dalam soal ini, Pas memahami mereka tidak boleh bergantung kepada pengundi-pengundi tegar mereka sahaja.
Pas terlalu kemaruk untuk meraih undi bukan Melayu melalui kerjasama DAP, biar pun DAP sudah secara terbuka menyatakan menentang sebarang dasar Islam Pas, tetapi bagi Pas tidak apalah. Biarlah beralah dan dilihat tidak bermaya asalkan PKR dan DAP tidak meninggalkan mereka dalam menuju destinasi ke Putrajaya.
Sebenarnya, sejak awal lagi, sudah ada pandangan bahawa Pas tidak akan berupaya melaksanakan undang-undang atau peraturan Islam di negeri-negeri yang diperintahnya. Namun Pas sentiasa bersikap angkuh dan sering mahu menggambarkan kononnya mereka memperjuangkan Islam.
Dalam isu di Kelantan itu, alasan kerajaan negeri, ia adalah berkaitan dengan isu penguat kuasaan undang-undang kecil bukannya penguatkuasaan undang-undang Islam, tetapi soal apakah orang bukan Islam memahami perkara ini? Kalau mereka faham, kenapakah penentangan terhadap peraturan itu begitu ketara sekali?
Mungkin sekali lagi, Pas akan menuduh parti-parti komponen BN menjadi dalang menghasut masyarakat bukan Melayu tetapi soalnya kenapakah Pas tidak konsisten kalau merasakan tindakan mereka itu betul? Kenapakah selama 21 tahun peraturan itu dipertahankan atau selepas empat pilihan raya ia secara tiba-tiba ditangguhkan? Apakah keputusan yang dibuat ini semata-mata mengambil kira pandangan wakil kerajaan negeri dengan organisasi masyarakat bukan Melayu atau kerana Pas takut hilang undi? Dan satu lagi yang melucukan kenyataan bahawa kerajaan negeri membuat keputusan menangguhkannya sementara satu kajian dan penilaian dibuat, soalnya apakah selepas 21 tahun baru satu kajian dan penilaian hendak dilakukan?
Apa yang berlaku jelas membuktikan bahawa keupayaan Pas untuk melaksanakan sesuatu peraturan, kalaulah penguatkuasaan undang-undang kecil seumpama itu pun Pas tidak mampu, bagaimana dengan undang-undang lebih besar seperti hukum hudud contohnya.
Hakikatnya, Pas sebenarnya tidak bersedia dan tidak mampu untuk memperjuangkan Islam tetapi masih mahu mendabik dada mengatakan mereka jauh lebih baik daripada UMNO dalam soal berkenaan. Namun semua orang ketahui sejauh mana keupayaan dan paling penting keberanian Pas dalam soal tersebut khususnya apabila berhadapan dengan penentangan DAP. Atas faktor inilah Pas dilihat hanya beretorik sahaja apabila bercakap soal memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud dan pentadbiran Islam.
Kepimpinan Pas sengaja membangkitkan soal itu demi untuk meraih sokongan orang Melayu dan terus mahu menyakinkan penyokong-penyokongnya bahawa mereka masih memperjuangkan Islam. Bagaimanapun hakikatnya semua tahu sejauh manakah kejujuran Pas dalam soal berkenaan. Jika Pas benar-benar mempunyai ketegasan sudah pasti peraturan di Kelantan tidak dikorbankan dan paling penting kenapakah kepimpinan Pas tidak membantah apabila dalam Buku Jingga yang kita menjadi 'kitab rujukan' pakatan pembangkang langsung tidak disebut soal pelaksanaan undang-undang syariah atau hukum hudud?
Kalaulah peraturan berusia 21 tahun dan matlamat perjuangan berusia lebih 60 tahun sanggup dikorbankan oleh Pas, apakah jaminan parti itu mampu terus memperjuangkan hukum hudud dan dasar Islam lain jika pakatan pembangkang memerintah?
Tambahan pula Pas bukanlah parti yang dominan dalam pakatan berkenaan, Pas hanyalah pak turut dan dilayan bagaikan 'melukut di tepi gantang' dalam kerjasama tersebut.
Kalau Pas tidak dominan mana mungkin parti itu akan berupaya mempengaruhi PKR dan DAP untuk mengikut kehendak mereka, malahan kalau Pas mendesak juga mungkin kedua-dua parti bertanya bak bahasa orang muda-muda sekarang 'lu sapa mau bising-bising'.
Bagaimanapun, Pas tidak mengakui fakta itu kerana percaya bahawa PKR dan DAP adalah sahabat sejati dan mereka akan berupaya mempengaruhi kedua-dua parti berkenaan untuk menurut kehendak Pas dalam soal penegakkan hukum-hukum Islam.
Jika Pas mempunyai impian dan harapan sedemikian, sahlah parti itu semakin kehilangan arah tuju memburu kuasa. Ia memandangkan sikap PKR dan DAP dalam menentang perjuangan Islam Pas adalah jauh lebih konsisten berbanding Pas sendiri.
Sejarah politik negara sudah menyaksikan Pas bersedia berkompromi dengan PKR dan DAP. Pas bukanlah lagi parti yang mempunyai kekuatan sendiri.
Bagi Pas sekarang, kesepakatan yang dicapai dengan kedua-dua parti itu adalah 'satu rahmat' kerana mereka sudah bosan untuk menjadi pembangkang selama-lamanya. Perjuangan Islam hanyalah mainan bibir dan bukannya matlamat yang benar-benar mahu dilaksanakan.
Oleh itu kepada mereka yang menganggap Pas masih boleh memperjuangkan Islam, janganlah terus berkongsi mimpi dengan parti tersebut kerana akhirnya mereka juga akan menjadi lebai malang, menang sorak kampung tergadai!

Tiada ulasan: