10 Disember 2012

Perkasa tiga negeri pertahan Utusan Malaysia

YUSOF Suhaimi Mohd. Yatim (tengah, berkacamata) bersama pemimpin Perkasa Pulau Pinang mengumpulkan RM2,800 melalui Tabung Bantuan Guaman Utusan Malaysia, di Jalan Hatin, Georgetown, Pulau Pinang, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 6 Dis. - Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Kedah dan Pulau Pinang turut melancarkan tabung bantuan guaman sebagai tanda sokongan dan membela akhbar Utusan Malaysia yang berhadapan dengan tindakan saman oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berhubung kenyataannya mengenai kebebasan beragama.
DI SHAH ALAM, Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, tabung tersebut diadakan atas inisiatif serta kesedaran pertubuhan bukan kerajaan itu untuk membantu akhbar berkenaan yang selama ini tidak putus-putus memperjuangkan isu-isu agama, bangsa dan negara melalui penulisan serta pemberitaannya sejak ditubuhkan 73 tahun lalu.
"Kita lancarkan tabung bantuan guaman kepada Utusan Malaysia berkuatkuasa pada malam ini. Kita juga akan gerakkan tabung ini ke setiap sembilan daerah di Selangor.
"Justeru, kita berharap setiap rakyat khususnya orang Melayu membantu menyalurkan sumbangan mereka menerusi tabung ini. Walau sekecil mana sekali pun sumbangan yang diberikan, usaha tersebut memberi makna yang besar kepada perjuangan untuk membela akhbar berkenaan.
"Sebagai orang Melayu khususnya, kita tidak harus menafikan bahawa Utusan Malaysia telah memainkan peranan besar kepada pembangunan agama, bangsa dan negara ini tidak mengira golongan dan latar belakang. Apa yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia merupakan berita yang nyata," katanya pada majlis pelancaran tabung itu di sini malam tadi.
Sementara itu, Yang Dipertua Perkasa Pulau Pinang, Yusof Suhaimi Mohd. Yatim pula memberitahu, pelancaran tabung itu juga sebagai simbolik perjuangan pertubuhan itu dalam mempertahankan hak orang Melayu, Islam dan raja-raja Melayu.
Menurutnya, mana-mana pihak yang mencabar hak orang Melayu bermakna mereka juga mencabar kesucian Islam dan kedaulatan raja-raja Melayu.
"Hari ini kami melancarkan tabung kerana peranan Utusan Malaysia mempertahankan orang Melayu dan Islam telah dipersoalkan.
"Sedangkan pembelaan terhadap Islam dan orang Melayu itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan sewajarnya Perkasa membela Utusan Malaysia," ujarnya.
Yang Dipertua Perkasa Kedah, Syed Osman Mansor pula berkata, pelancaran tabung berkenaan timbul atas rasa tanggungjawab badan bukan kerajaan (NGO) itu membela akhbar yang berani melaporkan perkara benar dan membela orang Melayu.
"Tabung ini digerakkan setiap pengerusi Perkasa daerah dengan ikhlas membantu Utusan Malaysia melawan anasir-anasir yang memecah-belahkan orang Melayu dan Islam.
"Wang ringgit bukan ukuran, tetapi tabung ini merupakan terjemahan bahawa Utusan Malaysia tidak bersendirian dalam menghadapi saman daripada Nurul Izzah," katanya di sini hari ini.

Tiada ulasan: