
ABDUL Ghani Othman yang mewakili Najib
Tun Razak, diiringi Tunku Ahmad Burhanuddin (dua kiri) semasa
merasmikan Taman Tema Keluarga Puteri Harbour di Nusajaya, Johor,
semalam. - UTUSAN/NASIRRUDDIN YAZID
*****
NUSAJAYA 6 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata, pelaksanaan projek di seluruh negara harus memberikan hasil
serta faedah secara terus kepada rakyat dan dinikmati secara sama rata
oleh segenap lapisan masyarakat.
Perdana Menteri berkata, perkara itu penting dan kerajaan akan
memastikan dalam usaha mengejar pembangunan, tidak ada rakyat yang
ditinggal dan dipinggirkan.
Beliau berkata, Iskandar Malaysia yang dibangunkan sejak enam tahun
lalu kini sedang pesat membangun dan menyediakan kehidupan serba selesa,
peluang perniagaan dan aktiviti hiburan yang menarik serta menjadi
penjana dan pemangkin dalam proses transformasi negara.
"Perkembangan pesat yang kita dapat lihat hari ini adalah bukti yang
projek berimpak tinggi dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang
dirancang benar-benar dibangunkan dan bukan hanya digembar-gemburkan
untuk menagih sokongan rakyat.
"Saya berpendapat projek-projek seperti ini perlu diteruskan untuk
memastikan cita-cita kita tercapai. Ini adalah komitmen kerajaan dan
saya akan memastikan kesinambungan projek ini akan berterusan sehingga
membuahkan hasilnya pada 2020 nanti," katanya semasa merasmikan Taman
Tema Keluarga Puteri Harbour, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.
Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Tan Sri
Azman Mokhtar; Pengurusan Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Themed
Attractions and Resorts Sdn. Bhd., Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin.
Perdana Menteri berkata, pembangunan pesat di koridor selatan dalam
beberapa sektor termasuk perindustrian, peruncitan, pelancongan serta
kemudahan perniagaan menjadikan pelabur asing tertarik untuk ke negara
ini dan sehingga September lalu, Iskandar Malaysia menerima pelaburan
bernilai hampir RM100 bilion dengan 40 peratus daripadanya adalah hasil
pelaburan asing.
"Pembangunan pelbagai projek di wilayah ini menunjukkan para pelabur
asing yakin dengan kestabilan dan perkembangan ekonomi di negara ini,"
katanya.
Najib berkata, pengiktirafan Bank Dunia di dalam laporan 'Doing
Business 2013' kepada Malaysia sebagai negara ke-12 paling berdaya saing
di dunia untuk menjalankan perniagaan dan ia merupakan pencapaian
terbaik berbanding di kedudukan ke-18 pada tahun lalu.
Malaysia juga berjaya mengekalkan kedudukan ketiga sebagai Lokasi
Penyumberan Luar berdasarkan kepada hasil kajian A. T Kearney Global
Services Location Index 2011 selain menduduki tempat keempat bagi
perlindungan pelabur oleh Forum Ekonomi Dunia 2012 dan tempat ke-10 bagi
Indeks Keyakinan Pelaburan Asing 2012.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pembukaan Taman Tema
Keluarga Puteri Harbour merupakan satu lagi hadiah kepada rakyat Johor
dan Malaysia selepas pembukaan Taman Tema Legoland Malaysia dua bulan
lalu.
Beliau berkata, pembukaan taman tema itu bukan sahaja inisiatif untuk
menyuburkan industri pelancongan negara dengan menyediakan produk
pelancongan berjenama antarabangsa untuk menarik lebih ramai pelancong,
malah ia menjadi projek pemangkin yang mampu memacu perkembangan serta
peningkatan taraf sosioekonomi negeri Johor dan Malaysia.
"Limpahan manfaat ekonomi dapat dirasai penduduk negeri ini menerusi
peluang pekerjaan baru, perkembangan modal insan dengan penambahan
tenaga kerja mahir dan separuh mahir serta penglibatan anak-anak
tempatan dalam kegiatan ekonomi baru.
"Projek pemangkin ini juga secara langsung akan memberi suntikan
kepada sektor pembinaan dan pembangunan hartanah melalui pembinaan
kawasan perumahan, kondominium, bangunan pejabat, pusat perniagaan dan
komersial," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan