
DR. MAHATHIR Mohamad melihat potret
kanvas sambil diberi penerangan oleh Pengerusi Caprice Group Turkey,
Fadil Akgunduz dalam Seminar Antarabangsa Standard Pelancongan Islam di
Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Pengerusi Universal Crescent Standard
Centre (UCSC), Prof. Datuk Dr. Ismail Ibrahim (kiri). - UTUSAN/MOHD.
NOOR MAT AMIN
*****
KUALA LUMPUR 6 Dis. - Tun Dr. Mahathir Mohamad
berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh UMNO
berjaya menebus semula maruah umat Islam sekali gus membuktikan negara
Islam mampu mencapai kejayaan seperti mana negara-negara lain
Bekas Perdana Menteri itu berkata, berdasarkan kepada faktor tersebut
selain faktor kejayaan UMNO dan BN membangunkan negara, rakyat perlu
memberi mandat kepada parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU-13) akan datang.
Pada masa sama beliau sekali lagi mengingatkan kepada semua rakyat
bahawa kemajuan yang dikecapi oleh Malaysia sejak 55 tahun lalu akan
musnah sekiranya pakatan pembangkang diberi mandat untuk memerintah
"Rosak, rosak habis sekiranya pembangkang memerintah negara. Segala
kemajuan yang kita kecapi selama 55 tahun ini akan dihancurkan oleh
mereka.
"Berbanding UMNO dan Barisan Nasional (BN), sudah terbukti yang kita
berjaya membawa pembangunan kepada negara," katanya kepada pemberita
selepas memberi ucaptama dalam Seminar Antarabangsa Standard Pelancongan
Islam kali pertama bertemakan Standard Kualiti Hotel Menurut Perspektif Islam di sini hari ini.
Peserta yang hadir dalam seminar itu terdiri daripada
pengusaha-pengusaha dalam industri pelancongan dari negara-negara Islam
seluruh dunia.
Semalam, Dr. Mahathir mahu semua ahli UMNO bersatu memberikan
sokongan kepada siapa sahaja calon BN dalam PRU-13 akan datang walaupun
yang dipilih itu daripada pemimpin parti komponen.
Mengulas lanjut Dr. Mahathir berkata, pihak pembangkang sudah pasti
akan merosakkan segala-galanya demi memperlihatkan kekuasaan jika menang
kerana itulah sebenarnya wajah mereka.
Tegas beliau, sememangnya rakyat tidak akan dapat lari daripada
menghadapi kesan yang amat buruk sekiranya perkara itu benar-benar
berlaku memandangkan cara pembangkang mentadbir bukannya baik untuk
negara.
Sementara itu ketika ditanya mengenai budaya cah keting di dalam UMNO
beliau percaya kepimpinan parti sedang berusaha mengurangkan budaya
negatif tersebut.
Mengenai potensi bidang pelancongan berteraskan Islam, Dr. Mahathir
percaya industri itu boleh berkembang kerana sudah ada permintaan
daripada pelancong-pelancong khususnya pelancong Islam.
Beliau berkata, itu termasuk penyediaan perkhidmatan hotel bercirikan
Islam yang sekarang ini telah bamyak disediakan terutama di
negara-negara Islam.
"Sebelum ini kita terlalu bergantung dengan kemudahan yang mengikut
cara Eropah dan kita terpaksa menerimanya tetapi sekarang terdapat orang
Islam yang berkeupayaan memberi perkhidmatan sejajar dengan kehendak
Islam," ujarnya
Terdahulu di dalam ucapannya, Dr. Mahathir berkata, Islam tidak
pernah menghalang penganutnya mengecapi kemewahan tetapi mestilah
bersandarkan sumber-sumber halal antaranya terlibat dengan industri
pelancongan.
"Kebanyakan negara-negara Islam mempunyai produk-produk pelancongan
yang mampu menarik pelancong datang ke negara mereka antaranya
kesan-kesan tamadun Islam terdahulu. Ambillah peluang ini untuk kita
memperkenalkan tamadun Islam kepada orang lain," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan