IPOH 6 Dis. - Tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim enggan mengesahkan pengumuman Kumpulan Hartanah Selangor Berhad
(KHSB), mengenai baki hutang Talam Corporation Bhd. (Talam), kurang
RM121 juta daripada hutang asal RM236 juta menimbulkan banyak persoalan.
Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata, Abdul
Khalid sepatutnya memberikan penjelasan berhubung isu hutang itu
termasuk menjawab sama ada siasatan lanjut mengenainya masih berjalan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
berkata, Abdul Khalid seperti cuba mengelak daripada menjawab persoalan
berkenaan apabila meminta beliau membuat laporan mengenai perkara
tersebut kepada Suruhanjaya Sekuriti.
"Berdasarkan pengumuman itu, siasatan lanjut diteruskan. Ini juga
menunjukkan Menteri Besar Selangor tidak sedar apa yang beliau sedang
lakukan.
"Sebab itu, beliau tidak mengatakan tiada masalah sedangkan kertas
putih Kerajaan Negeri Selangor sudah keluar. Kenapa beliau tidak ada
keyakinan untuk menyatakannya, apatah lagi ini bukan melibatkan RM1 atau
RM2 juta tetapi RM121 juta," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan
Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) Pasar Mini Chop Sing Cheong di
Taman Pasir Putih Selatan, di sini hari ini.
Semalam, Abdul Khalid enggan mengesahkan pengumuman KHSB berhubung
hutang Talam masih berbaki RM115 juta sebaliknya meminta Tee Yong
melaporkan mengenai pengurangan hutang Talam sebanyak RM121 juta itu
kepada Suruhanjaya Sekuriti.
Beliau juga mendakwa Tee Yong mengeluarkan kenyataan tanpa kajian terperinci mengenai pendedahannya itu.
Mengulas lanjut Tee Yong berkata, soalan yang dibangkitkan adalah
adakah hutang sebanyak RM121 juta itu telah dilupuskan semasa pengesahan
hutang yang perlu dibayar oleh Talam selepas pengambilalihan syarikat
itu oleh Kerajaan Negeri Selangor.
"Inilah persoalannya. Mungkin hanya Kerajaan Negeri Selangor atau KHSB tahu apa yang mereka sedang buat sekarang.
"Ini kerana selepas dua tahun, mereka masih perlukan siasatan lanjut
walaupun ada kertas putih atau laporan KPMG Transaction &
Restructuring Sdn. Bhd. (KPMG), yang mana mereka kata semua jawapan ada
di dalamnya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan