10 Disember 2012

MILF hantar pakar ekonomi, anak muda pelajari kejayaan Malaysia

JOHOR BAHRU 5 Dis. - Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) akan menghantar kumpulan pakar ekonomi mereka untuk mempelajari cara Malaysia membangunkan ekonomi negara ini sehingga berada pada tahap sekarang.
*****
Pengerusi MILF, Murad Ebrahim (gambar) berkata, kejayaan itu bukan sahaja dikagumi wilayah Mindanao tetapi juga banyak negara lain.
Menurutnya, oleh kerana populasi penduduk Bangsamoro yang majoritinya beragama Islam, maka, Malaysia adalah negara yang paling sesuai untuk dijadikan model untuk membangunkan wilayah autonomi itu menjelang 2016.
"Usaha tersebut merangkumi pelbagai bidang dan yang diberi tumpuan sekarang ialah dalam pendidikan kerana kami telah banyak ketinggalan berikutan perang selama puluhan tahun.
"Kami secara prinsipnya sudah mencapai persetujuan dengan GiatMara untuk menghantar anak muda Bangsamoro mempelajari pelbagai kemahiran yang disediakan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Ke-8 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.
Minggu lalu, Murad menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di ibu negara.
Dalam pada itu, Murad turut menjemput pelabur Malaysia dan negara lain untuk datang dan melihat sendiri pelaburan yang boleh dilakukan di wilayah tersebut kerana mereka mempunyai banyak sumber semulajadi seperti mineral dan gas asli.
Selain itu, menurutnya, para pelabur yang berminat juga boleh menceburi bidang lain yang menjadi nadi kehidupan masyarakat Bangsamoro seperti industri berasaskan pertanian dan perikanan kerana mempunyai sumber yang baik.
"Saya sempat membuat forum khas berasingan dengan lebih 30 delegasi termasuk Malaysia yang menyatakan keinginan untuk melabur di Mindanao. Mereka dilihat sangat berminat dan menyatakan kesungguhan terhadap wilayah ini," ujarnya.
Ditanya mengenai proses perjanjian damai, beliau yakin ia akan dapat dimeterai mengikut perancangan sekali gus mampu mencapai matlamatnya dan membawa kepada pembentukan wilayah autonomi yang selama ini diidam-idamkan.
Ini kerana, katanya, MILF turut berdialog dengan kumpulan-kumpulan militan lain yang lebih kecil mengenai kerangka perjanjian damai yang ditandatangani MILF dan kerajaan Filipina pada Oktober lalu dan menerima maklum balas positif.
"Hakikatnya, mereka mempunyai matlamat yang sama dengan MILF iaitu pembebasan Bangsamoro. Justeru, kejayaan pelan damai ini akan membawa kebaikan kepada semua," ujarnya.

Tiada ulasan: