
KUALA LUMPUR 5 Dis. _ Malaysia berada di landasan
yang betul dalam membangunkan teknologi bersih sebagai sebahagian
daripada komitmen globalnya ke arah melindungi alam sekitar, selain
mengambil langkah untuk memastikan usaha seperti itu menyumbang kepada
pembangunan sosial dan ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia
berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi komitmen pengurangan karbon
negara - pengurangan 40 peratus dalam kadar pelepasan menjelang 2020,
daripada paras 2005.
"Kami menyasarkan untuk mencapai matlamat ini menerusi pelbagai
langkah, yang kesemuanya meningkatkan pertumbuhan, mewujudkan pekerjaan
dan industri baru serta melonjakkan kemakmuran," katanya menerusi blog 1Malaysia beliau.
Najib berkata, Malaysia adalah pengeluar utama produk tenaga bersih
seperti panel solar dan lampu LED yang efisien dan turut memperkenalkan
tarif galakan untuk melonjakkan pengambilan domestik tenaga boleh
diperbaharui dan memperluaskan gabungan tenaga itu.
"Kami berusaha untuk berkembang dan mempelbagaikan sektor ini agar
kami dapat menerajui ekonomi rendah karbon masa depan," katanya.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia turut melabur
berbilion dolar dalam infrastruktur tenaga bersih, misalnya di Iskandar
Malaysia.
"Perancangan turut dibuat untuk membina rangkaian kereta api
berkelajuan tinggi Asia Tenggara yang di peringkat awal menghubungkan
Kuala Lumpur dengan Singapura, namun akhirnya akan sampai ke China,"
katanya.
Beliau berkata, Malaysia akan muncul kelak sebagai pengeksport utama
elemen nadir bumi iaitu bahan utama produk teknologi bersih seperti
kereta hibrid dan turbin angin dengan sebuah kilang baru yang
menghasilkan kira-kira 20 peratus bekalan global.
"Kilang tunggal ini akan menyumbang satu peratus kepada Keluaran
Dalam Negara Kasar Malaysia - menegaskan rasional ekonomi dalam
menerajui ekonomi bersih," katanya.
Mengenai keperluan bagi negara Asia menangani perubahan iklim, beliau
berkata, masanya sudah tiba bagi Asia menjadi sebahagian daripada
penyelesaian memandangkan Asia diunjurkan untuk menghasilkan 40 peratus
daripada tenaga berkaitan gas rumah hijau dunia menjelang akhir dekad
ini.
Kata beliau, sungguhpun negara barat telah membawa dunia kepada jurang iklim, namun Asia tidak harus hilang pertimbangan.
"Seiring kebangkitan Asia, begitu jugalah dengan komitmennya terhadap
iklim. Pada persidangan PBB mengenai iklim yang sedang berlangsung di
Doha, pemimpin Asia perlu berhujah mengenai tindakan yang tegas dan
berkesan terhadap perubahan iklim.
"Dan kita mesti bersedia untuk melaksanakan peranan dalam
mengurangkan pelepasan. Pembangunan masa depan menuntut perkara ini,"
katanya.
Najib berkata, akibat daripada ketiadaan tindakan akan meningkatkan
risiko terhadap rakyat, bandar raya dan ekonomi negara ini dan "tidak
berbuat apa-apa bukan lagi satu pilihan." - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan