
Dr. Mahathir Mohamad menerima
sumbangan untuk Tabung Kecemasan Gaza daripada wakil Koperasi Felda
Chemomoi pada Majlis Bicara Tokoh di Felda Kemasul, Bentong, semalam. -
UTUSAN/Mahathir Ali
*****
BENTONG 5 Dis. - Semua ahli UMNO diminta bersatu
memberikan sokongan kepada siapa sahaja calon Barisan Nasional (BN)
dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang walaupun yang dipilih itu
daripada pemimpin parti komponen.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, selain itu,
untuk mendapatkan kemenangan dua pertiga, seluruh ahli UMNO perlu
merapatkan barisan dan mengelakkan perpecahan dalam parti.
"Kita (ahli UMNO) harus ingat kalau diletakkan siapa saja calon
walaupun mata sepet sebelah, hidung penyet, asalkan dia calon BN, kita
undi sajalah.
"Yang hendak dan perlu menang ialah parti, bukan orang. Kalau Najib
(Datuk Seri Najib Tun Razak) menang saja pun tak guna juga sebab kita
masih tidak dapat membentuk kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab dalam Majlis Bicara Tokoh di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Selepas majlis tersebut, Dr. Mahathir yang juga Presiden Yayasan
Keamanan Global Perdana (PGPF) menerima cek RM3,000 sumbangan Koperasi
Felda Kemasul (RM2,000) dan Koperasi Felda Chemomoi (RM1,000) untuk
Tabung Kecemasan Gaza.
Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, Perhimpunan Agung
UMNO 2012 yang berakhir Sabtu lalu dilihat memberikan semangat baharu
kepada ahli parti.
"Apa yang saya harapkan semangat ini diterjemahkan dalam bentuk
sokongan kepada parti supaya kita menang dalam pilihan raya umum akan
datang," katanya.
Ditanya seorang peserta dalam sesi soal jawab tersebut mengapa
sehingga kini Perdana Menteri masih berteka-teki tentang tarikh pilihan
raya umum, Dr. Mahathir berkata, Najib kini sedang berusaha memulihkan
UMNO.
"Hal ini kerana dalam Pilihan Raya Umum 2008 ada orang yang tidak berpuas hati dengan kita dan undi parti lawan," katanya.
Beliau berkata, UMNO perlu terus mendampingi rakyat terutama orang
Melayu agar BN kembali mendapat sokongan dalam pilihan raya umum nanti.
"Orang Melayu adalah kaum majoriti di negara ini, tetapi kita telah
berpecah kepada UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga
menyebabkan kita menjadi minoriti.
"Jadi kita harap orang lain untuk menang kerana kalau semua ahli undi
calon UMNO yang dipilih tetap tak boleh menang dan sebab itu perlu
sokongan daripada bukan UMNO (komponen BN)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan