KUALA LUMPUR 6 Jan. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang wajib memainkan peranan beliau sebagai ulama dengan menarik segera amanat tahun 1981 yang membawa perpecahan dan bukan bermain politik dalam isu tersebut.
Bekas aktivis tegar dan ahli seumur hidup Pas, Zainon Ismail atau CN Al-Afghani berkata, jika Abdul Hadi terus berdolak-dalik dalam isu berkenaan maka Presiden Pas itu masih kekal dengan hakikat kafir bersahabat dengan parti bukan Islam.
"Apa yang susah sangat nak tarik balik sedangkan ini isu akidah. Inikah peranan ulama? Beliau kena ingat ini bukan isu basi. Di Terengganu masih berlaku solat dua imam, di Kelantan masih berlaku cerai kerana berbeza ideologi politik.
"Saya tidak kisah kalau dia nak perlekeh saya sekadar guru sekolah rendah walaupun pada hakikatnya saya guru sekolah menengah. Walaupun kerana didikan guru yang diperlekehnya inilah ramai menjadi insan mulia.
"Ini akidah. Seharusnya sebagai ulama dan individu bertanggungjawab beliau perlu membetulkan semula keadaan dan bukan berdolak-dalik," katanya dalam satu taklimat tertutup kepada golongan belia, di sini malam tadi.
Semalam, ketika pelbagai pihak tidak putus-putus mendesak Presiden Pas itu menarik balik amanatnya pada tahun 1981, Abdul Hadi tampil mendakwa beliau tidak pernah menamakan ucapan tersebut sebagai 'Amanat Haji Hadi'.
Sebaliknya, beliau mendakwa, ada pihak tertentu yang memanipulasikan ucapan beliau mengenai perkara itu sekali gus menama serta menguar-uarkannya sebagai satu amanat yang dikenali 'Amanat Haji Hadi'.
Namun pada masa sama beliau mengakui menyampaikan ceramah di Banggol Peradong pada 1981 dan kemudiannya membawa petikan ucapan itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun yang sama.
Mengulas lanjut, Zainon berkata, isu 'Amanat Haji Hadi' tidak akan selesai selagi Presiden Pas itu enggan menarik balik kerana dosa memecah-belah umat serta mengkafirkan saudara seagama akan terus menghantui beliau.
"Abdul Hadi ini idola saya sejak dulu hingga sekarang tetapi saya lebih sayangkan Islam dan akidah berbanding hormat kepada beliau, jadi saya akan terus bersuara walaupun sebagai guru sekolah rendah," katanya penuh bermakna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan