PULAU PINANG 6 Jan. - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa mengakui pernah menyokong cadangan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain.
Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, pendedahan tentang perkara itu oleh Pengerusi Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP), Mohamed Hafiz Mohamad Nordin semalam adalah benar, namun menegaskan kenyataannya dibuat berdasarkan perspektif Islam yang lebih meluas.
"Apa yang saya katakan adalah berdasarkan fiqah dan tidak wujud sebarang masalah tentangnya.
"Cuma yang menjadi isu adalah dari segi enakmen negeri terutamanya di Semenanjung yang tidak membenarkan kalimah Allah digunakan oleh agama lain, selain Islam," katanya ketika dihubungi di sini.
Mohamed Hafiz semalam mendedahkan beliau mempunyai bukti video yang menunjukkan Mujahid bersetuju secara peribadi kalimah Allah boleh digunakan penganut agama lain dalam satu dialog di sebuah gereja di Seberang Perai, dua tahun lalu.
Isu kalimah Allah itu kembali menjadi panas apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam perutusan sempena Hari Krismas bulan lalu meminta kerajaan Pusat membenarkan penggunaannya dalam kitab Bible di Semenanjung.
Bagaimanapun tindakan Guan Eng itu mendapat bantahan keras umat Islam di seluruh negara, malahan dianggap sebagai sengaja mencetuskan kontroversi agama.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata, persetujuannya berhubung perkara itu adalah berlandaskan fiqah dan pandangan ulama serta tidak bercanggah dengan pendirian parti.
"Islam tidak memaksa agama lain untuk mengikut Islam dan bangsa Yahudi serta Nasrani juga telah menggunakan perkataan Allah sejak sekian lama," katanya.
Dalam pada itu, Mujahid turut menyifatkan tindakan Mohamed Hafiz yang juga bekas Ketua Pemuda Pas negeri itu sebagai tidak bertanggungjawab.
"Perbuatan itu seperti sengaja mencari publisiti murahan. Sekiranya beliau mempunyai bukti rakaman video, apa yang harus dilakukan sebenarnya adalah menilai semula apa yang saya katakan dan mencari di manakah perkara yang bercanggah itu," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan