
TIGA murid Sekolah Jenis Kebangsaan
Cina Sungai Way, Petaling Jaya, (dari kiri), Yap Yean Qie, Darwen Puji
Astuti dan P. Sasi Warny gembira menunjukkan wang bantuan RM100 yang
diterima mereka baru-baru ini. - foto/mingguan ABDUL NAZIR MOHAMED
*****
Maklumlah selepas berhabis duit menyediakan kelengkapan anak-anak untuk sesi persekolahan yang baru bermula dua minggu lepas, pengagihan bantuan pelajaran RM100 sejak Rabu lalu dapatlah sedikit-sebanyak menyeimbangkan bajet yang lari dan menampung belanja sehingga mendapat gaji hujung bulan ini.
Ketika ke sekolah mengambil duit bantuan itu kelmarin, guru kelas anak penulis meminta MyKid atau surat beranak anak sebagai bukti. Jika tidak membawa dokumen itu, beliau minta panggil anak di kelas untuk mendengar sendiri daripada mulutnya bahawa yang datang membuat tuntutan itu ialah penjaga yang sah.
Penulis tidak ada masalah dengan peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Namun naluri wartawan penulis membuatkan penulis bertanyakan guru bertugas kenapa bersungguh-sungguh mengadakan peraturan itu?
Sebab ada kes," jawab guru perempuan itu ringkas, mungkin sebab ketika itu ramai lagi ibu bapa yang beratur menunggu giliran di belakang penulis atau enggan bergosip.
Namun tidak sahlah jadi wartawan kalau penulis tidak bongkar apa kes yang dimaksudkan oleh guru tersebut.
Setelah dirisik-risik, rupa-rupanya ada kes ibu bapa yang sudah berpisah, si bapa datang mengambil duit bantuan pelajaran sedangkan si ibu yang membela si anak.
Apabila si ibu ini datang ke sekolah dan dimaklumkan yang wang RM100 itu sudah diserahkan kepada si bapa, apa lagi meraunglah wanita tersebut. Menurut seorang guru yang menjadi sumber cerita ini, wanita itu yang merupakan surirumah sepenuh masa ditinggalkan tanpa nafkah untuk menyara diri dan anak-anak oleh sang suami.
Mungkin ada yang menganggap wanita ini mengada-ngada meraung hanya kerana RM100. Namun penulis faham. Bagi sesetengah orang, apa sangatlah RM100 tetapi bagi si ibu tinggal ini, nilainya cukup besar sekali.
RM100 bagi orang senang mungkin bil sekali makan tengah hari di TGI Fridays atau Chillis, tapi bagi golongan marhaen adalah belanja dapur untuk seminggu atau lebih.
RM100 bagi anak orang senang mungkin sekadar top-up telefon bimbit atau duit outing hujung minggu di Mid Valley dan KLCC namun bagi anak orang lain adalah belanja sekolah selama sebulan campur tambang bas atau pun kutipan sehari suntuk berjual kuih-muih.
Bersyukur
Sebab itu penulis cukup bersyukur dengan bantuan RM100 yang diberikan oleh kerajaan kepada setiap murid dan pelajar untuk meringankan beban ibu bapa mulai tahun lalu. Cuma mungkin jika bantuan itu hendak dipanjangkan ke tahun-tahun akan datang, biarlah pengagihan dihadkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Sebab agak janggal rasanya melihat ibu bapa dengan kereta menjalar lebih 2000 cc atau menunggang motosikal tetapi tayarnya sama besar dengan tayar lori, pun turut sama menuntut duit RM100 ni.
Golongan ini mungkin kurang menghargai dan tidak begitu mensyukuri rezeki yang diperolehi itu kerana ia tidak lebih sekadar sekeping not kertas di dalam dompet yang sudah memang tebal isinya.
Umpama menjamu orang yang kenyang, tentulah makanan itu sudah tidak ada nikmatnya lagi. Masalahnya di negara ini, cukup ramai orang yang sudah kenyang sehinggakan ramai yang tidak tahu bersyukur lagi.
Mungkin salah kerajaan yang memerintah kerana terlalu efisien sehinggakan sukar mencari orang lapar di negara ini. Akibatnya semakin sukar juga mendengar ucapan syukur daripada sebesar-besar sehingga sekecil-kecil nikmat yang diterima di bumi bertuah ini.
Penulis teringat fakta bahawa guru di Kemboja dibayar gaji AS$100 sebulan.
Di tengah ibu kota Phnom Penh, para pelajar ke sekolah hanya berselipar. Jarang dilihat yang berkasut. Rata-ratanya berjalan kaki, menaiki tuk-tuk atau hebat sedikit, bermotosikal ke sekolah. Kurang sangat yang dihantar ibu bapa dengan motokar menjalar. Maklumlah pemilik kereta di negara itu ialah mereka yang benar-benar kaya kerana difahamkan tidak ada skim pinjaman kenderaan seperti di negara ini, semuanya beli tunai!
Kalaulah bantuan pelajaran RM100 (kira-kira AS$33) itu diberikan kepada setiap pelajar di Kemboja, atau mana-mana negara lain di Asia Tenggara, Afrika mahupun Amerika Selatan, agak-agaknya apakah perasaan mereka?
Penulis biasa mendengar orang Malaysia merungut yang membeli barangan dapur di pasar raya dengan RM100 kini usahkan hendak penuh troli, separuh pun belum tentu lagi. Benar nilai RM100 sekarang tak sama dengan 10 atau 20 tahun dulu, zaman kita membeli nasi lemak dengan harga 10 sen.
Namun kita patut insaf bahawa di sudut lain dunia, ada yang tidak terfikir pun tentang membeli-belah apatah lagi hendak memenuhkan troli. Ini kerana hendak membeli sebuku roti pun bagi mereka amat perit sekali.
Jadi sebelum kita merungut tak tentu hala, toleh-tolehlah sekeliling nescaya kita dapat menghargai nilai sekecil-kecil kenikmatan yang kita kecapi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan