SEORANG anak muda masih teruja menceritakan pengalamannya berada di Stadium Merdeka minggu lalu. Dia berasa bangga dapat menyertai ribuan orang dalam himpunan itu. Dia yang tidak lekang dengan tablet Samsungnya menunjukkan gambar-gambar yang dirakamnya.
"Saya pergi untuk tengok apa yang berlaku, tapi saya tak mahu kecoh-kecoh, huru-hara," kata anak muda berumur dalam lingkungan 30-an ini.
Dia yang berniaga membekal peralatan kesihatan mengaku bukan ahli mana-mana parti politik tetapi menyertai himpunan itu bagi memenuhi naluri anak muda yang ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku.
Kehadirannya tidak bermaksud menyokong himpunan itu. Sikapnya neutral dan menyokong apa yang dia rasakan betul sahaja. Mungkin ini gambaran pemikiran anak muda generasi baharu masa ini. Mereka hanya boleh diyakinkan dengan hujah dan realiti apa yang berlaku di persekitarannya.
"Hanya ucapan Haji Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) yang sedap di telinga, yang lain retorik, benda sama diulang langsung tak ada apa, tak sedap di telinga," katanya.
Satu hal yang dibanggakannya ialah sikap anggota polis yang memberi kerjasama penuh kepada peserta himpunan. Dia memberikan markah penuh atas profesionalisme anggota polis mengawal himpunan itu.
Mungkin sahaja himpunan Sabtu lalu itu tidak bertukar menjadi ganas ala Arab Spring kerana sebahagian besar peserta tidak mempunyai sikap seperti ini. Mereka, sebagaimana majoriti rakyat Malaysia, mahu mengekalkan keamanan dan keharmonian yang dinikmati sekarang.
Mereka tidak dapat dibeli dengan idea menukar kerajaan menerusi demonstrasi jalanan. Mereka yang menggagaskan himpunan ini dengan matlamat untuk membangkitkan rasa marah rakyat agar kerajaan segera ditumbangkan nampaknya terpaksa gigit jari.
Setelah seminggu berlalu, semangat antikerajaan tidak pula bernyala-nyala atau sekurang-kurangnya terlihat baranya. Semuanya seperti sedia kala, malah citra parti-parti pembangkang dan ketumbukan NGO mereka semakin memburuk.
Hal yang demikian kerana rakyat melihat kepada realiti, apa yang berlaku di depan mata mereka. Di lapangan, pakatan pembangkang dan NGO mereka mempertontonkan diri yang cakap tak serupa bikin. Mereka terlihat bersungguh-sungguh bercakap tentang nilai-nilai sejagat - keadilan, hak asasi, telus dan bersih tetapi hakikatnya jauh panggang dari api. Mereka hanya berdegar-degar bercakap tapi apabila diberi kuasa tidak pula melaksanakannya.
Di Selangor, rakyat kecil - penghuni rumah pangsa, ibu tunggal dan warga emas dibiar terlonta-lonta menagih janji kerajaan. Di Pulau Pinang, orang Melayu dan India berasa tertekan kerana dipinggirkan. Di Kedah dan Kelantan, mereka tidak peduli pun soal hak asasi dan sensitiviti kaum lain.
Dibabat
Hutan tetap dibabat, juga tiada kesungguhan menghapuskan rasuah yang ironinya mereka jadikan senjata menyerang kerajaan Barisan Nasional. Jadi, apakah perubahan dan pembaharuan yang telah mereka lakukan?
Mereka tidak lebih baik malah menjadikan banyak perkara tidak keruan alias cacamarba. Semua perkara dikaitkan dengan kepentingan politik kekuasaan, bukan rakyat yang diutamakan.
Seperti asap yang disapu angin, semangat berapi-api yang cuba ditiupkan semasa himpunan Sabtu itu juga semakin sirna akibat perilaku mereka sendiri. Mungkin inilah akibatnya apabila yang tiada diada-adakan. Isu-isu sengaja dibesar-besarkan kalaupun tidak direkacipta untuk membakar amarah rakyat. Isu yang dibangkitkan tidak asli malah tidak wujud.
Jika dahulu semasa demonstrasi Baling yang miskin dikatakan kebuluran sehingga membawa kematian kini strategi sama digunakan. Bukan sekadar kerajaan yang digambarkan seburuk-buruknya tetapi Malaysia juga mahu ditampilkan sebagai negara tidak selamat.
Tidak selamanya rakyat boleh ditipu. Tidak selamanya rakyat dibodohkan dengan cerita dan hujah-hujah yang sama sepanjang masa. Tidak selamanya rakyat akan terpedaya dengan citra wakil rakyat yang hanya lincah di pentas ceramah tapi malas menghadap rakyat.
Memang ada rasuah di negara ini. Sebab itu apa juga daya dan langkah dilakukan untuk membanterasnya. Begitupun gejala itu tidaklah seburuk yang didengungkan oleh parti pembangkang. Rasuah sengaja mereka politikkan sebagai senjata untuk menumbangkan kerajaan kerana terbukti berjaya digunakan di banyak negara termasuk di Arab dan Afrika.
Memang kerajaan sekarang mempunyai banyak kelemahan. Sebab itu, awal-awal lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir malah beliau sendiri membuka akses untuk idea-idea baharu.
Rakyat tahu kerajaan kini lebih terbuka dan sensitif dengan denyut nadi rakyat. Selain merombak dan menghapuskan undang-undang yang disifatkan mengikat kebebasan rakyat, kerajaan turut menggubal banyak akta baharu termasuk Akta Perhimpunan Aman yang menjadikan himpunan Sabtu itu berjalan aman.
Sebenarnya rakyat telah lelah dengan perilaku pemimpin yang tidak kunjung henti menidakkan aspirasi rakyat. Dalam tempoh hampir lima tahun ini, rakyat tentu sekali telah merakam segala jejak pemimpin dan parti politik. Mereka tahu mana yang gemar menyakiti hati rakyat dan mana yang suka menyelami masalah rakyat.
Sebagaimana yang tergambar melalui himpunan minggu lalu itu, kita perlu menyedari bahawa rakyat kini kian cerdas. Mereka tidak mudah lagi tergiur dengan janji-janji muluk. Mereka melihat kepada realiti, bukan bayangan kosong.
Hanya parti politik yang dapat menyelami keluh kesah, kritikan bahkan sumpah-seranah rakyat yang akan terpilih lagi kelak. Mereka yang berbohong dan berbohong lagi akan ditolak. Kerana apa, kerana rakyat semakin cerdas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan