
Siapakah mereka? Antara aktivis yang menghadiri perhimpunan pembangkang di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, 12 Januari lalu.
*****
AWANG ingin menyatakan rasa syukur atas keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang mengambil pendirian tegas dalam isu penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam.
Jika tanpa keputusan majlis berkenaan, parti itu akan terus membawa aliran songsang dan lebih hanyut dalam isu tersebut.
Awang juga mengucapkan tahniah kepada Dewan Ulama terutama Dr. Haron Din dan Harun Taib selain Ketua Penerangan Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dan beberapa tokoh seperti Nasharuddin Mat Isa dan Ismail Kamus.
Ketegasan mereka meletakkan kepentingan Islam mengatasi percaturan politik, harus dipuji. Sememangnya isu penggunaan kalimah Allah oleh agama lain telah membawa perpecahan serius di dalam Pas.
Ramai pemimpin kanan Pas sebelum ini mengikut telunjuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng agar dibenarkan penggunaan kalimah Allah untuk bukan Islam.
Antara mereka Presiden Pas, Hadi Awang, Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu (Mat Sabu) dan Ketua Dewan Pemuda, Nasruddin Hassan.
Bagaimanapun kelompok ulama bangkit membantah dengan menekankan kalimah suci itu hanya khusus untuk umat Islam.
Kini, barisan pemimpin Pas yang senada dengan Guan Eng telah melakukan pusingan U ekoran keputusan Majlis Syura Ulama, Ahad lepas.
Awang melihat mereka sudah tiada pilihan. Selain ketegasan Majlis Syura Ulama, lebih 95 peratus ahli Pas menolak penggunaan kalimah Allah untuk agama lain. Apabila akar umbi mengambil pendirian tersebut, ia dilihat berbahaya kepada kedudukan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Takkanlah kerana muslihat Guan Eng yang mempolitikkan agama untuk melonjakkan sokongan penganut Kristian kepada DAP, Pas pula menanggung kerugian ditolak oleh ahli-ahli sendiri.
Ekoran isu tersebut, ahli-ahli Pas dalam diam menolak Guan Eng selain Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Ini termasuk protes ketika perhimpunan pembangkang 12 Januari lalu.
Ketika Anwar berucap, sebahagian ahli Pas meninggalkan Stadium Merdeka. Malah ratusan ribu lagi ahli akar umbi Pas enggan menghadiri perhimpunan itu walaupun dirayu oleh para pemimpin Pas yang pro Anwar.
Ahli-ahli Pas telah menyampaikan mesej yang jelas dalam isu tersebut menjadikan Hadi, Nik Aziz dan Mohamad Sabu tak keruan dan malu sendiri.
Itu belum mengambil kira gelombang bantahan umat Islam, peringatan Raja-Raja Melayu, para ulama dan mufti termasuk Mufti Kelantan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan ahli-ahli akademik.
Awang berharap apa yang berlaku itu menjadi pengajaran bernilai kepada Pas agar tidak mengorbankan agama untuk kepentingan politik.
Lihatlah apa terjadi minggu ini apabila pihak tertentu mengedarkan Bible versi Bahasa Melayu ke sekolah di Pulau Pinang. Awang percaya perbuatan itu dilakukan kerana secara tidak langsung mendapat motivasi daripada persetujuan pemimpin Pas dalam isu tersebut, sebelum ini. Siapa yang mahu bertanggungjawab, Pas, PKR atau DAP?
Awang sependapat dengan banyak pihak yang mahukan ketiga-tiga pemimpin Pas itu memohon maaf kepada umat Islam atas keterlanjuran mereka mengkhianati Islam.
Isu tersebut tidak boleh ditutup begitu sahaja. Jika tidak mahu meletakkan jawatan, permohonan maaf kepada umat Islam, memadai. Jika tidak, ia umpama meninggalkan luka bernanah yang tidak tersembuh.
Dalam pada itu, isu tersebut meninggalkan Guan Eng dengan imej yang lebih buruk di kaca mata umat Islam. Ternyata keputusan Majlis Syura Ulama satu tamparan kepada beliau dan Anwar.
Tetapi PKR dan DAP mula menyerang balas. PKR melalui Timbalan Presiden, Azmin Ali dengan lantang mempersoalkan keputusan Majlis Syura Ulama, badan tertinggi dalam Pas.
Nampaknya beliau tidak menghiraukan sensitiviti umat Islam sebaliknya mengambil pendirian luar tabii dalam isu yang sangat kritikal kepada agama.
DAP juga seperti memberi tekanan dengan mahukan Pas mengkaji semula keputusan tersebut.
Kasihan Pas asyik diperkotak-katik dan dihina bukan oleh pihak luar tetapi dalam pakatan pembangkang sendiri. Salah percaturan siapa selama ini: Hadi, Nik Aziz, Mat Sabu atau ahli-ahli?
Himpunan LGBT?
Sama ada disedari atau tidak, perhimpunan pembangkang di ibu negara pada 12 Januari turut disertai aktivis yang memperjuangkan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Khabarnya, jumlah mereka signifikan termasuk penggerak tegar budaya songsang itu. Ia tidak ubah membawa semangat penganjuran Seksualiti Merdeka, yang mencetuskan bantahan rakyat Malaysia tidak lama dulu.
Bagi kelompok berkenaan, perhimpunan 12 Januari lalu adalah simbol kebebasan buat mereka selain sebagai isyarat mempromosi budaya LGBT di negara ini.
Agenda mereka tidak pernah malap malah makin menyala. Lebih-lebih lagi mendapat motivasi daripada seorang tokoh pembangkang yang dikaitkan dengan gejala tersebut.
Realitinya, gerakan LGBT semakin meresap kuat di negara ini dengan mendapat pelbagai bentuk sokongan daripada banyak badan antarabangsa.
Antaranya, Human Rights Watch yang mendesak agar undang-undang mengkategori liwat sebagai jenayah di Malaysia dihapuskan kerana dianggap lapuk.
Apakah misi gerakan tersebut? Pada firasat Awang ia tidak lain bagi membenarkan perkahwinan sejenis sebagaimana di sebahagian negara.
Di Malaysia, dalam diam LGBT mendapat motivasi selepas tercetus isu paderi gay warga Malaysia yang menetap di Amerika Syarikat (AS), Ngeo Boon Lin.
Beliau mengadakan majlis resepsi perkahwinan sejenisnya dengan warga AS, Phineas Newborn di tanah air ini selepas setahun berkahwin.
Majlis tersebut dilihat sebagai kemenangan moral buat gerakan LGBT. Awang turut dikejutkan dengan maklumat tentang gejala berkaitan LGBT di negara ini yang semakin dahsyat.
Ramai orang Melayu terlibat termasuk seks berkumpulan dan menjadikan suami atau isteri habuan seks orang lain bagi tontonan sendiri.
Ada perlakuan lebih teruk daripada itu, yang tidak tergamak untuk Awang sebutkan. Persoalannya apakah kita mampu mengekang gejala tersebut?
Rumusan seorang teman yang menjalankan penyelidikan mengenainya, ia adalah sukar kecuali komitmen tinggi daripada semua pihak.
Setakat ini, dia tidak melihat komitmen itu. Apatah lagi tiada kesedaran mengenai gejala tersebut sehinggakan sebahagian masyarakat sudah tidak kisah jika ada pengamal LGBT menjadi pemimpin negara.
Apa yang berlaku di Perancis awal minggu ini, menarik perhatian ramai. Ratusan ribu dilaporkan menyertai demonstrasi di Paris bagi membantah rancangan kerajaan membenarkan perkahwinan sejenis.
Penunjuk perasaan membawa kain rentang antara lain berbunyi: jangan sentuh perkahwinan sivil, semua dilahirkan daripada penyatuan lelaki dan wanita dan satu bapa + satu ibu untuk semua anak.
Demonstrasi itu disertai oleh ramai penduduk Perancis beragama Kristian selain penganut Islam dan turut mendapat sokongan para pemimpin gereja.
Sememangnya isu perkahwinan sejenis merupakan ujian besar kepada Presiden Perancis, Francois Hollande.
Walaupun mendapat bantahan, Parti Sosialis pimpinan beliau enggan menarik balik rang undang-undang perkahwinan sejenis yang dijangka dibentangkan 29 Januari ini.
Awang teruja untuk melihat apa kesudahan isu tersebut sama ada undang-undang itu diteruskan atau ditarik balik.
Apa pun, yang nyata, makin ramai pemimpin Kristian di Barat termasuk AS tampil menolak perkahwinan sejenis.
Malah mereka mengaitkan taufan Sandy yang melanda negara itu sebagai balasan Tuhan kerana undang-undang yang membenarkan perkahwinan sejenis.
Ada pengajaran berharga daripada semua ini untuk kita di Malaysia renungkan. Rakyat Perancis bangkit membantah tetapi agak terlewat ketika ancaman itu sudah benar-benar di depan mata.
Mungkinkah akan ada undang-undang perkahwinan sejenis di Malaysia suatu hari nanti? Pada Awang, ia bukan mustahil kerana bibit-bibit ke arah itu kian ketara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan