31 Januari 2013

Hafiz sedia dipanggil buktikan ahli Pas

PULAU PINANG 29 Jan. - Bekas Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin yang mengetuai sekumpulan ahli Pas mengadakan demonstrasi di hadapan firma guaman Pengerusi DAP, Karpal Singh baru-baru ini bersedia untuk dipanggil oleh kepemimpinan parti itu bagi membuktikan keahlian mereka.
Tegasnya, beliau tidak gentar untuk berhadapan dengan mereka memandangkan semua yang terlibat dalam demonstrasi berkenaan sememangnya terdiri daripada ahli Pas.
“Itu semua adalah suara akar umbi Pas yang tidak berpuas hati dengan kenyataan Karpal yang mendesak Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya mengkaji semula keputusan yang dibuat Majlis Syura Ulama Pas berhubung isu kalimah Allah.
“Kami sebagai ahli melihat perkara itu sebagai tidak menghormati keputusan Majlis Syura Ulama dan sebab itu kami bangun mendesak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya demonstrasi berkenaan dianjurkan oleh mereka yang bukan ahli Pas.
Dalam sebuah laman portal berita, Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa mendakwa kemungkinan demonstrasi itu dilakukan oleh ahli-ahli UMNO yang mengaku sebagai ahli Pas.
Mohamed Hafiz dalam pada itu menambah, demonstrasi berkenaan dianjurkan oleh ahli Pas sendiri tanpa melibatkan kepimpinan parti itu sama ada di peringkat negeri mahupun pusat.
“Itu suara ahli-ahli Pas, jadi sepatutnya kepimpinan parti perlu lebih peka dan membuka mata untuk mendengar luahan ahli parti dan bukannya menafikan keahlian kami.
“Semasa demonstrasi itu juga, ada seorang yang mengaku dihantar oleh kepimpinan Pas negeri untuk melihat benarkah ia dianjurkan oleh ahli Pas dan wakil berkenaan kenal serta tahu siapa kami, jadi mengapa kepimpinan Pas negeri mahu menafikannya?" soalnya.

Tiada ulasan: