31 Januari 2013

Pemecatan Nasharudin ada muslihat

KUALA LUMPUR 29 Jan - Pemecatan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa daripada Majlis Syura Ulama parti itu disifatkan sebagai muslihat bagi mengalih pandangan umum daripada membincangkan isu kalimah Allah.
Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, keadaan itu kemungkinan boleh berlaku memandangkan jarak masa antara tarikh keputusan dibuat dengan tarikh pengumuman agak panjang iaitu kira-kira dua minggu.
Beliau berkata, ekoran berlakunya tempoh jarak masa yang agak panjang tersebut menyebabkan pelbagai spekulasi boleh dibuat.
“Bagi saya pengumuman tentang pemecatan itu bertepatan dengan tarikh lawatan kemanusiaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza bersama Nasharudin yang merupakan salah seorang ahli rombongan mempunyai muslihat tersendiri.
“Antaranya untuk mengalihkan pandangan umum dan persepsi masyarakat mengenai isu kalimah Allah yang masih terawang-awang dan belum ada jalan keluarnya di pihak pakatan pembangkang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas ‘misteri’ pemecatan Nasharudin sebagai ahli Majlis Syura Ulama Pas memandangkan tempoh pengumuman pemecatan itu lewat dua minggu daripada tarikh keputusan yang dibuat pada 13 Januari lalu.
Dalam perkembangan berkaitan Hasan berkata, dalam isu kalimah Allah, pakatan pembangkang melalui Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Karpal Singh berusaha mengekalkan keputusan yang telah diputuskan pada 8 Januari lalu.

Tiada ulasan: