13 Januari 2013

Himpunan Shamsidar dan Pas gagal jawab isu tanah

HIMPUNAN Shamsidar esok merupakan usaha terakhir pembangkang untuk menimbulkan kekacauan di ibu negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Selain itu, ia juga menjadi medan bagi pakatan pembangkang untuk mengetahui sejauh mana sokongan rakyat terhadap mereka menjelang pilihan raya umum itu.
Di sebalik Himpunan Kebangkitan Rakyat yang merupakan kemuncak segala perhimpunan yang dianjurkan sebelum ini, blog Malay Delima (malaydelima.blogspot.com) melihat Himpunan Shamsidar adalah jauh lebih penting bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana Shamsidar Taharin iaitu isteri Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali itu adalah penentu hidup dan mati karier politiknya selepas ini.
Katanya, walau bagaimanapun pembangkang menuduh himpunan tersebut sebagai propaganda Barisan Nasional (BN) kerana tidak mungkin ia diadakan serentak dengan Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berskala lebih besar dan sudah pasti tidak memberi impak yang diharapkan.
“Nampaknya penyokong pembangkang telah terlepas pandang akan strategi pemimpin-pemimpin mereka sendiri. Bukankah Bersih sebelum ini juga menghimpunkan Himpunan Hijau bersama-sama kerana bimbang tidak mampu mencapai sasaran jumlah peserta? Bukankah pembangkang gemar berhimpun di tempat yang sedia terdapat ramai orang seperti di masjid selepas solat Jumaat?
“Maka strategi yang sama juga dapat dilihat dalam Himpunan Shamsidar ini iaitu bergabung dengan Himpunan Kebangkitan Rakyat agar kedua-dua himpunan dilihat mempunyai jumlah penyertaan yang cukup ramai," katanya.
Katanya, apa yang pasti Himpunan Shamsidar merupakan satu perhimpunan untuk menutup kes terkutuk melibatkan ahli politik yang selama ini membawa imej keislamannya dan bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri dengan isteri pemimpin parti politiknya sendiri.
Sahabat Gunung (sahabat-gunung.com) pula hairan kerana Shamsidar begitu istimewa di mata pembangkang sehinggakan mereka sanggup mengadakan demonstrasi besar-besaran untuknya.
“Adakah ia ada kaitan dengan kenyataan Nallakaruppan sebelum ini mengenai hubungan intim Anwar dan Shamsidar. Mengapa nak takut? Betulkah wujud hubungan tersebut? Pesanan aku pada Shamsidar, dia tak perlu risau kalau dia tak buat apa yang dikatakan Nalla...
“Kau kalah bukan bererti kau salah. Kalau menang bukan bererti kau benar kerana kalah dan menang bukan sempadan untuk benar dan salah. Yang benar tetap benar walaupun dipertikai, yang salah tetap salah walaupun diselindungkan," katanya.
Sementara itu Azharri Siddiq (www.al-azharrisiddiq.com) menasihati Hishamudin Rais, iaitu penggerak kepada beberapa perhimpunan pembangkang baik di dalam negara mahupun di luar negeri supaya belajar menjadi warganegara yang hebat seperti Senator Paul Findley yang berjuang di atas kertas daripada di jalanan.
Ini kerana Hishamudin yang merupakan penggerak demonstrasi mahasiswa pada 1970-an dahulu dan budaya tersebut masih diamalkan sehingga hari ini walaupun jelas kaedah itu sudah lapuk dan tidak lagi mendapat tempat di hati rakyat.
“Bagi saya, Hishamudin patut menghentikan semua ini dan belajar menjadi warganegara hebat seperti Lee Lam Thye. Belajar menjadi seperti Hillary Clinton di Amerika, walaupun tewas kepada Barrack Obama (2008) tetapi menerima lantikan sebagai Setiausaha Negara.
“Jadilah seperti Senator Paul Findley, perjuangannya di atas kertas lebih berjaya daripada di atas jalanan. Tiada luka dan darah menyembah bumi!," katanya.
Katanya, pemimpin jalanan seperti Hishamudin, Tian Chua, Mohamad Sabu dan anak didikan mereka, Adam Adli menghadapi kacau-bilau minda dan perasaan. “Jambatan Kedua Pulau Pinang sudah hampir siap, (tetapi) Hishamudin masih berfikiran di tahun 1970-an," katanya.
Sementara itu, Kayang Daily Post (kayangdailypost.blogspot.com) berkata, himpunan 12 Januari merupakan satu lagi usaha menjadikan rakyat yang mematuhi undang-undang sebagai korban pihak-pihak tertentu.
“Secara logiknya perhimpunan haram yang menyusahkan rakyat ini tidak diberi laluan walau pun sedikit. Tetapi disebabkan kerajaan yang memperjudikan keselamatan rakyat yang patuh undang-undang untuk meraih undi, maka perhimpunan yang ternyata menyalahi undang-undang pun dibenarkan dan dihalalkan.
“Pembangkang sepatutnya bersyukur kerajaan sekarang lebih menyebelahi mereka berbanding rakyat yang memilih BN sebagai kerajaan. Sabtu ini yang datang buat kacau adalah pembangkang dan yang terima kesusahan disebabkan polis menutup jalan adalah bukan pembangkang," katanya.
Katanya, rakan-rakan dan sahabat handai yang menjadi rakyat patut kepada undang-undang harus bersedia untuk menerima kesusahan atau terpaksa tidak pergi esok memandangkan perusuh telah memaksa kerajaan menutup jalan.
“Sabtu ini (esok) Kuala Lumpur bukan kita punya. Kalau yang berniaga di Kuala Lumpur, tutuplah perniagaan. Polis telah diarahkan supaya menjaga keselamatan perusuh yang membuat kacau. Susah sebenarnya hendak cari kerajaan yang sebaik ini," katanya.
PAS GAGAL JAWAB ISU TANAH
ISU pemberian tanah oleh kerajaan Kelantan kepada dua pemimpin DAP Perak sehingga kini masih belum dijelaskan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta barisan pemimpin Pas negeri sebaliknya mereka lebih cenderung untuk menyalahkan orang lain, termasuk media yang melaporkan isu tersebut.
Pisau (pisau.net) berkata, selepas 23 hari kes tersebut tercetus di Dewan Undangan Negeri Perak, Pas masih tidak mampu menjawab bagaimana tanah seluas Putrajaya itu boleh jatuh ke tangan kedua-dua pemimpin DAP tersebut walaupun satu forum kononnya untuk menjawab fitnah mengenainya diadakan di Kota Bharu, baru-baru ini.
Katanya, kerajaan negeri mendakwa tiada orang Melayu yang mampu menguruskan tanah tersebut sehingga memaksa mereka memberikan kepada orang Cina sedangkan mereka mempunyai syarikat sawit di bawah Husam Musa. “Apakah syarikat itu juga tidak mampu melaksanakan tugas tersebut?" katanya.
“(Kerajaan negeri berkata) Syarikat ini diterima pada 2012 maka ia tak melibatkan masa Nizar (Mohamad Nizar Jamaludin) menjadi MB Perak. Mereka tidak menjawab soal transaksi ini dilakukan selepas 2008 dan perkataan untuk menyokong Nizar jadi MB. Mengaku pun selepas 2008!
“Katanya tanah ini boleh ditarik balik bila-bila masa. Bodohlah pelabur nak melabur jika tanah boleh ditarik balik?" kata blog ini.

Tiada ulasan: