27 Februari 2013

Manifesto hanya risalah 'jualan murah' - Syed Ali

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Manifesto pakatan pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 semalam disifatkan tidak lebih sekadar risalah "jualan murah penghujung tahun" untuk meraih sokongan rakyat.
Beberapa pemimpin berpendapat manifesto itu juga hanyalah janji retorik yang sekadar menawarkan hadiah bulan dan bintang kepada pengundi dan mustahil untuk direalisasikan.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, intipati manifesto itu merupakan cebisan ucapan pemimpin pembangkang terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ceramah politik beliau di seluruh negara sebelum ini.
"Ia langsung tidak mencerminkan satu kaedah tawaran yang efisien, konsisten, komprehensif dan berkualiti untuk manfaat rakyat," katanya.
Syed Ali berkata, manifesto pembangkang itu juga jelas tidak meletakkan kepentingan Melayu sebagai kaum majoriti negara ini dan tidak dinyatakan secara khusus usaha ke arah meningkatkan syiar Islam sepertimana terkandung dalam Perlembagaan.
"Ini bermakna manifesto pembangkang tidak berani berterus terang menyebut untuk menjaga kepentingan pribumi kerana terikat dengan dominasi DAP sebagai pencatur kepada halatuju pakatan tersebut," katanya.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, manifesto PKR-DAP-Pas itu dibuat hanya sekadar untuk menambat hati rakyat tetapi tidak meneliti dari segi keupayaan kewangan negara.
"Ia dirangka berasaskan sentimen meraih sokongan dan mereka yang merancangnya tidak mempunyai pengalaman dalam kerajaan manakala ekonomi kerajaan sekarang dirancang dan dipandu oleh pakar dari pelbagai institusi... ini merupakan dokumen yang boleh ditulis oleh sesiapa," katanya.
Ketua Penerangan Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Datuk A.
Chandrakumanan pula mengingatkan rakyat supaya berwaspada dengan janji yang ditaburkan pembangkang dalam manifesto itu yang ternyata sukar untuk direalisasikan.
Chandrakumanan yang juga Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan berkata, rakyat perlu tahu bahawa manifesto pembangkang hanyalah sekadar janji kosong dan tidak munasabah memandangkan masih ada manifesto pada PRU 2008 yang belum ditunaikan.
Beliau berkata, sekiranya tol dimansuhkan, beribu-ribu orang akan kehilangan pekerjaan dan timbul persoalan mengenai dari mana pembangkang akan mendapat sumber kewangan untuk penyelenggaraan lebuh raya dan pembayaran kepada syarikat konsesi.
"Mereka (pembangkang) tidak ada niat hendak sejahterakan rakyat tetapi menghasut rakyat sehingga bawa ke jalan raya. Rakyat patut fikir secara waspada sebelum beri undi kepada pembangkang kerana undi itu akan hancurkan masa depan anak dan negara kita," katanya.
Beliau berkata, banyak idea pembangkang dalam manifesto itu sudahpun dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional yang prihatin terhadap kebajikan rakyat menerusi dasar transformasi negara misalnya pemberian pendidikan percuma. - BERNAMA

Tiada ulasan: