27 Februari 2013

Mengharap kematangan politik dan analisis bijak

WAWANCARA saudara Ahmad Fauwaz Fadzil, putera kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dalam Mingguan Malaysia semalam menarik untuk dianalisis kerana matang dan berhemah. Beliau membuat analisis terbuka mengenai percaturan politik yang sedang terjadi dan memilih jalan wahdah (perpaduan) ke arah menyelesaikan kemelut ummah.
Jiwa besar seperti ini tidak banyak dalam kalangan anak muda yang memperjuangkan Islam memiliki jiwa dai' dan murabbi yang tinggi.
Selalunya "pejuang-pejuang" atas nama Islam tinggi emosinya dalam bidasan dan sindiran sehingga hilang rasional dan fikrah yang menyantuni.
Kata beliau, kita memerlukan sebuah masyarakat yang matang dan tidak terlalu terhimpit dengan agenda kosong. Kenyataan ini adalah benar. Terlalu banyak kenyataan kosong yang tidak berisi dilontarkan kepada khalayak tetapi kenyataan itu tidak diikuti dengan pelan tindakan yang strategis supaya idealisme dapat diterjemahkan dalam realiti. Bercakap dengan label-label yang jelik dan maki-hamun yang kesat lazimnya terjadi. Menampilkan cakap-cakap dalam bentuk tindakan sukar terjadi. Ceramah yang diadakan ibarat penglipurlara dari satu tempat ke suatu tempat tapi hasil konkrit membangun Islam tidak ada.
Kematangan yang dituntut oleh Fauwaz adalah supaya kita ini berhemah. Lebih-lebih lagi atas nama Islam, cakap kita kena cermat dan ada hikmah. Kalau tidak kita ini sama dengan orang tidak berilmu dan tidak beriman.
Tambah beliau - "Saya sebahagian dari kamu dan kamu adalah sebahagian dari saya. Kita mengucap dua kalimah syahadah yang sama jadi kenapa kita perlu bertelagah". Jiwa muafakat ini tidak banyak ada pada orang politik yang gopoh dan hendakkan kuasa cepat.
Ahli politik Islam yang tulus ialah yang mampu menghargai kebaikan orang lain dan bersikap korektif terhadap kelemahan sendiri. Sifat politik Islam ialah saling melengkapi bukannya mendakwa aku saja yang Islamik sedangkan orang lain tidak.
Kita membiarkan pertelagahan terjadi dengan sia-sia semata-mata watak kita memang suka bertelagah. Kita enggan melakukan muhasabah dan berwatak dai' dan murabbi dan bertindak ibarat orang yang jahil dan hilang kewarasan.
Pendukung politik Islam harus bersedia mengkritik orang lain dengan etika dan adab dan bersedia juga mengkritik diri sendiri dengan keinsafan yang tinggi.
Perlawanan yang hendak berlaku bukan sekadar kuasa dan pengaruh tetapi setakat mana umat Islam mampu disantuni dengan nasihat dan peringatan.
Kata Fauwaz lagi, kita perlu jadi umat yang merancang kerana tanpa perancangan tidak ada jalan. Kenyataan ini amat relevan dengan perkembangan masa kini. Bila umat Islam tidak merancang dan musuh Islam merancang atas kelemahan kita akhirnya kita bakal menjadi umat terpinggir.
Perancangan politik biasanya melihat siapa lebih berkuasa dan lebih dominan dalam menentukan hala tuju perjuangan mengikut faham dan keperluan mereka.
Pas umpamanya bukanlah parti yang dominan dalam Pakatan Rakyat. Belum berjaya ke Putrajaya lagi Karpal Singh sudah memperlekehkan gagasan Negara Islam Pas betapa sudah sampai ke puncak kuasa nanti apa yang Pas boleh buat mengenai gagasan Negara Islamnya.
Kata beliau lagi - "Malaysia perlu harapan untuk maju ke hadapan. Saya Cuma terfikir sampai bila kita hendak melihat rakyat di negara ini bergaduh kerana politik".
Kenyataan ini adalah berkaitan sekali. Politik di Malaysia sama ada pilihan raya atau tidak adalah politik sepanjang zaman. Tidak ada masa reda. Pergaduhan dalam bentuk pemikiran dan sikap berterusan terjadi.
Kesediaan untuk berdialog dan bermuzakarah secara sihat tidak ada. Kegemaran untuk lawan pidato sentiasa memuncak.
"Sebenarnya kita hanya membesarkan masalah yang kecil yang tidak menyelesaikan apa-apa sejak sekian lama. Dalam Islam orang yang ekstrem pun ada masalah malah ulama' yang ekstrem pun akan menjadi masalah" tambah beliau.
Kenyataan itu memang tepat dan relevan sekali dengan situasi politik yang sedang terjadi. Dasar-dasar utama kerajaan umpamanya seperti memperkasa asas patuh syariah dalam kerangka kewangan negara, membina institusi pendidikan yang Islami, melakukan peleraian sosial dengan agenda yang banyak adalah antara isu-isu pokok perubahan yang sedang berlaku di Malaysia.
Bagi setengah orang politik itu bukan isu besar. Perkara-perkara titik-bengik terus dibangkitkan secara ekstrem sehingga melahirkan kelompok taksub yang hanya melihat dirinya saja Islamik sedangkan orang lain semuanya taghut atau perosak.

Tiada ulasan: