27 Februari 2013

Pemberi dicaci penerima makan hati

SUATU hari awal tahun 2003, Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata "Iblis pun kalau mahu membantu Pas, Pas akan terima bantuan tersebut." Tapi, kali ini ketika Kerajaan Persekutuan mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 kepada 2.7 juta keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara, Mursyidul Am Pas yang baharu balik dari Mekah berkata: "Orang yang menawarkan (wang) kepada orang, (sama seperti) kalau kita panggil ayam nak suruh ayam datang dekat, kita tabur hampas kelapa, tabur padi. Kalau nak panggil lembu kita bubuh (bagi) jerami."
Dua kontradiksi itu membayangkan darjah kepercayaan terhadap Mursyidul Am Pas, yang pernah dilihat sebagai manusia paling beriman dan menghampiri "maksum" sudah jatuh teruk sehingga perlukan aras psikologi baharu sebagai penanda arasan. Jika aras psikologi itu gagal diterjemahkan dalam tempoh terdekat, maka Mursyidul Am Pas akan disamakan dengan orang tua yang nyanyuk.
Inilah sikap parti pembangkang dari dulu hingga sekarang yang tidak pernah merendah diri dan berterima kasih atas kebaikan yang diberikan oleh UMNO dan BN. Sikap Pas itu pernah dilabelkan, selagi pemimpin beragama tetap tegar dengan politik pembangkang, selagi itulah mereka akan terus menggigit tangan orang menghulurkan bantuan.
Sedangkan hakikatnya apa yan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sesuai dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud; "Seorang Muslim yang menjadi penyimpan (bendaharawan) yang dapat dipercayai, yang mana dia melaksanakan apa yang diperintahkan dan memberikan apa yang harus diberikannya dengan sempurna, senang hati, dan memberikannya kepada siapa yang diperintahkannya, maka dia termasuk salah seorang yang bersedekah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Tahap penghinaan sesama manusia oleh pemimpin Pas semakin 'menggila' sedangkan dalam masa sama mereka menolak keras perangai orang lain yang menyindir keburukan pemimpin-pemimpin Pas yang sudah lama terlanjur bahasa dan tidak cukup budiman.
Kalau hendak diteliti dosa-dosa mereka yang sengaja disembunyikan memanglah banyak. Dengan menyembunyikan dosa-dosa itu, para pemimpin Pas percaya kedudukannya akan selamat dan berjaya ditutup daripada pengetahuan umum.
Boleh sahaja kita mengambil contoh apa yang dialami oleh ramai pemimpin Pas. Akibat pemimpin Pas bijak menyulam semula hadis dan al-Quran, ramai rakyat yakin pemimpin-pemimpin mereka adalah "anugerah Tuhan". Mereka sahajalah yang betul dan benar, bila ada yang mempersoalkan sesuatu pendirian, terhamburlah kata-kata: terdesak, terhimpit dan ketandusan modal.
Barangkali juga bagi pemimpin pembangkang dengan berdiam diri, lama kelamaan kekurangan itu akan hilang dengan sendirinya. Bila rakyat tidak mempersoalkannya, maka makin mudahlah pemimpin Pas menyusun siri pembohongan lebih besar, rakyat tegar mereka tidak akan menyoal. Apa kata ulama, maka itulah yang wajar dipatuhi. Membantah ulama, bererti tidak menghormati agama kerana ulamalah yang lebih tahu dan berpengetahuan berbanding orang lain.
Ulama yang menyokong musuh politiknya, akan dianggap tidak berwibawa kerana ulama berkenaan begitu takut menegur untuk membaiki kerumitan, malu besar. Bukan kepalang menanggung, dan berat lagi bahu yang mengandar dosa-dosa sendiri kerana dosa-dosa itu tidak boleh disimpan kekal dalam kotak kebal.
Benarlah kata seseorang kepada saya, pendirian Mursyidul Am Pas itu menggambarkan kegagalannya yang jelas dan terang kepada masyarakat umum.
Kalau lebih setahun lalu beliau dipersoalkan mengenai model negara berkebajikan, maka kali ini beliau turut menafikan pendirian sebelumnya. Usaha beliau untuk tidak menggalakkan rakyat Kelantan menerima BR1M pada kali ini menampakkan kebodohannya sendiri, sebuah refleksi flip-flop terbesar dalam hidupnya.
Perkara yang sebegini sebenarnya sudah diperingatkan oleh Allah dalam surah Al Maun ayat 1-3. "Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama, iaitu orang yang mengherdik anak yatim dan tidak menggalakkan memberi makan orang miskin".
Dalam tafsir At Thabari, orang-orang yang tidak memberi ingatan tentang pentingnya memberi bantuan kepada orang miskin adalah termasuk orang yang mendustakan agamanya. Sama tarafnya dengan orang-orang yang suka mengherdik dan memakan harta anak yatim. Ini bermakna, orang yang tidak memberi peringatan kepada pentingnya memberi sumbangan kepada orang miskin adalah dicela oleh Allah, apatah lagi bagi orang yang menghina pemberi sumbangan.
Beliau mengkritik keras pemberian BR1M, kerana negara berkebajikan yang hendak ditawarkan oleh Pas sudah tidak laku lagi. Bahkan, BN sudah sekian lama melakukan kebajikan yang lebih banyak. Pas hanya melakukan kebajikan dari segi air liurnya sahaja, hampir menyamai sikap pengusaha air jampi yang lantang mendakwa setelah meminum beberapa lama, ia mampu menghilangkan pelbagai penyakit dan gangguan.
Ulama saperti ini patut juga minum air jampi yang mengandungi bacaan 30 juzuk al-Quran dan doa-doa mustajab bagi menjernihkan hati dan sikap politik mereka.
Biarlah mereka mampu membezakan yang mana baik dan mana pula yang buruk, bersedia mengakui jika kebaikan tetap sebagai kebaikan walaupun ia dilaksanakan oleh musuhnya, bersedialah untuk menawarkan kebaikan yang lebih besar. Itu baharulah politik bersih dan bukannya politik haiwan.
Dengan menyamatarafkan penerima BR1M dengan "lembu dan ayam", maknanya ulama itu sendiri boleh disamakan pula dengan penternak ayam dan lembu yang hanya tahu melepaskan ternakan itu mencari makan sendiri. Ternakan itu dilepaskan di kawasan terbuka tanpa kawalan sehingga menyebabkan lembu dan ayam mengacau tanaman orang lain, dan ayam menyelinap ke mana sahaja untuk mengisi perut.
Penternak hanya tahu bila lembu dan ayamnya tidak pulang ke reban, ada sesuatu yang berlaku, mungkin lembu atau ayamnya hilang. Sebab itulah kejadian curi ayam dan lembu kian menjadi-jadi, kerana perangai penternaknya sendiri yang kurang mengambil tanggungjawab. Lembu dibiarkan tidur dan berkeliaran di jalan raya. Situasi itu memang perkara biasa di Kelantan.
Ayam dibiarkan tidur merata-rata sehingga di atas pokok. Cara mereka menternak, hanya seadanya. Tidak menghormati orang lain. Hanya terlalu mementingkan diri sendiri, maka bila lembu menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya, tuan punya tidak akan mengaku. Bila lembunya didapati hilang atau dicuri orang, dibuat laporan ke balai polis untuk siasatan.
Apabila ulama memberikan bantuan, wang dan apa-apa kepada seseorang dengan tujuan tertentu, tiada siapa yang memberi komentarnya. Sebaliknya, ramai yang menerimanya kerana Tok Guru beri ada keberkatannya. Tok Guru "bersedekah" walaupun niat sebenarnya ialah agar orang yang menerimanya mengundi calon Pas seperti berlaku dalam PRK DUN Galas, Gua Musang.
Tok Guru juga pernah memberikan wang kepada pengurus tokong Buddha di Kelantan agar masyarakat Siam terus menyokong parti itu. Ramai orang tahu, kalau bukan kerana politik, Tok Guru tidak sanggup masuk ke "ketik Siam" bertemu tok sami.
Dwistandard, bila dia memberi itu adalah sedekah, bila Pas menerima ia adalah amalan terbaik. Yang dia perah dan tagih ialah undi, undi, undi dan undi sehingga sanggup menipu diri. Itulah perangai pemimpin ulama dalam Pas, yang betul hanya dirinya, kerana selalu sangat betul, tidak sedar diri telah tersasar dan terpesong jauh dari dari sesuatu yang dikategorikan sebagai benar dan betul. Orang seperti itu sebenarnya perlu dirawat segera bagi mencari punca, petanda depresi sudah ada.
Penyakit itu kalau dibiarkan memang bahaya. Bahayanya bukan dirinya seorang, orang lain ikut terpana.

Tiada ulasan: