31 Mac 2013

Amanat Hadi punca taksub

Penyokong fanatik label ahli PAS kafir jika tak sokong ideologi politik

Kuala Lumpur: Penyokong fanatik PAS akan terus sewenang-wenangnya melabel orang Islam lain, termasuk ahli parti sendiri sebagai kafir dan murtad jika tidak menyokong ideologi politik mereka atau mendedahkan kesalahan parti itu.
Aktivis PAS, Mohd Riza Kamaruddin, berkata ini berikutan Amanat Hadi memberi kesan mendalam dan mempengaruhi golongan itu sehingga mewujudkan ketaksuban melampau, malah beliau turut dilemparkan tuduhan sama, dikecam dan dimaki hamun apabila mesra UMNO selepas kecewa dengan perjuangan PAS yang kian tersasar.

Kenyataan Hadi cipta taksub
“Kenyataan Hadi berjaya mencipta taksub sehingga menanam perasaan mereka (ahli PAS) lebih Islam daripada UMNO. Bagi golongan ini, macam mana baik dan alim sekali pun ahli UMNO, tetap tiada kredibiliti jadi imam mereka. Ketaksuban melampau itulah merosakkan agama, bangsa dan negara,” katanya kepada BH, semalam.

Baru-baru ini, media melaporkan beberapa bekas penyokong pembangkang yang tidak lagi menyokong parti terbabit, mendakwa menerima pelbagai ugutan dan cercaan daripada pihak tertentu yang dianggap fanatik.

Terbaru seorang bekas penyokong tegar PAS selama 45 tahun yang baru menyertai UMNO, Md Rashid Ibrahim, 68, dilaporkan menerima surat ugutan dalam sampul pada majlis perkahwinan anaknya di Permatang Pasir, Alor Pongsu, Bagan Serai, bulan lalu.
 
PAS gadai prinsip asas
Riza mendakwa masih lagi ahli PAS, berkata beliau beralih ke pentas politik UMNO demi survival agama, bangsa dan negara, bagi menyedarkan rakyat mengenai banyak kepincangan dalam PAS sehingga menggadai prinsip asas parti berlandaskan Islam.

“Saya tak boleh berdiam diri semata-mata atas kepentingan nafsu politik. Saya jauh lebih kenal PAS berbanding mereka yang baru sertai parti itu. PAS sudah terpengaruh dengan anasir `Anwariun’, rosak sejak bekerjasama dengan PKR serta DAP, hala tuju semakin menyimpang jauh kerana lebih rakus untuk berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut, berkata umat Islam dilarang taksub membabi-buta kepada manusia selain Rasulullah SAW yang maksum, termasuk sanggup mengugut dan mencerca semata-mata atas faktor ideologi politik. 
 
/hwa: bharian.com.my | 31/3/13

Tiada ulasan: