31 Mac 2013

Perangi jenayah

Oleh Hassan Omar dan Hazwan Faizal Mohamad
Perangi jenayah  
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop (tiga dari kanan) bersama Unit Rondaan Bermotosikal pada Program ‘United Against Crime’ di Subang Jaya, semalam. - Foto Yong Chee Choong
*****
 
1,000 lagi motosikal kuasa tinggi ditambah untuk rondaan
Subang Jaya: Kerajaan semalam menambah 1,000 lagi unit motosikal berkuasa tinggi untuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan kejayaan membanteras jenayah di kawasan perumahan dan tempat awam.
Tambahan kepada 1,000 unit motosikal yang dilancarkan sejak 19 Disember lalu oleh Datuk Seri Najib Razak di Bandar Kinrara, Puchong itu, berjaya menahan 207 penjenayah di seluruh negara setakat 20 Mac lalu.
"Sekarang sudah ada 92 kawasan perumahan di seluruh negara yang dironda 24 jam oleh URB” Najib Razak, Perdana Menteri"
URB berkesan kurang jenayah terutama di bandar
Daripada jumlah itu, 129 ditahan di Selangor, Johor (38), Kuala Lumpur (30) dan Pulau Pinang (10).

Perdana Menteri ketika mengumumkan penambahan itu, berkata peruntukan khas disediakan bagi pembelian motosikal berkenaan selepas PDRM selesai melatih dan menempatkan anggota polis terbabit.

“Saya berpuas hati dengan kejayaan URB sejak dilancarkan. Program ini amat berkesan dalam mengurangkan kadar jenayah, terutama di bandar,” katanya berucap melancarkan URB bagi kawasan Subang Jaya, di Seksyen 13, di sini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop; Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan Pengerusi Persatuan Penduduk Subang Jaya, Teoh Tong Hong.

Dekati masyarakat
Najib berkata, anggota URB bukan setakat dilengkapi peralatan komunikasi canggih bagi membolehkan mereka mengambil tindakan segera tanpa perlu menunggu orang ramai membuat laporan di balai polis, malah harus mendekati masyarakat sejajar konsep kerjasama polis dan masyarakat membanteras jenayah.

“Kita mempraktikkan konsep Bersama Memerangi Jenayah. Sekarang sudah ada 92 kawasan perumahan di seluruh negara yang dironda 24 jam oleh URB,” katanya.

URB melakukan rondaan dalam tiga syif di kawasan sibuk termasuk perumahan, perniagaan, perindustrian, taman rekreasi dan sekolah. Motosikal Kawasaki Ninja 250 ini dilengkapi sistem lampu dan siren disediakan untuk program di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Perdana Menteri berkata, usaha memerangi jenayah secara berterusan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Fasa I dari 2009 hingga 2012, mencatatkan penurunan kadar jenayah 39.7 peratus di seluruh negara.

“Inilah usaha kita untuk menjadikan Malaysia bebas jenayah dan rakyat menikmati keamanan dan kesejahteraan berkekalan,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, kejayaan itu membuktikan URB memberi kesan positif kepada usaha PDRM membanteras jenayah dengan kerjasama masyarakat.

Anggota unit berkenaan ditugaskan meronda di kawasan perumahan dan tempat awam bagi membantu membanteras jenayah termasuk pecah rumah dan ragut.

Ismail berkata, PDRM akan mempertingkatkan usaha itu dengan mempraktikkan konsep 3C, iaitu kolaborasi, kreativiti dan komunikasi, sekali gus menjadikan masyarakat sebagai rakan dalam usaha membanteras jenayah. 
 
/hwa: bharian.com.my | 31/3/13

Tiada ulasan: