31 Mac 2013

BN yakin jadikan Selangor negeri maju

BN yakin jadikan Selangor negeri maju  
Mohd Zin memegang bendera BN pada majlis penghargaan untuk pengusaha logistik Selangor di Bandar Bukit Tinggi, Klang. - Foto Roslin Mat Tahir
****
Pertumbuhan ekonomi ditingkat jika kembali memerintah
Shah Alam: Barisan Nasional (BN) yakin mampu mengangkat Selangor menjadi negeri maju berpendapatan tinggi pertama di negara ini jika berjaya merampas kembali negeri itu daripada pakatan pembangkang.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, berkata selepas pembangkang memerintah lima tahun, pertumbuhan ekonomi Selangor menguncup dengan banyak usahawan dan warga industri mengeluh.

Sukar berurusan
“Mereka mengadu kerajaan negeri diterajui PKR-DAP-PAS tidak menyediakan peluang perniagaan baru, kesukaran mendapatkan perniagaan, sukar berurusan dengan kerajaan negeri selain tiada pertumbuhan ekonomi yang ketara.

“Meskipun mereka mendakwa pelaburan langsung asing (FDI) Selangor tertinggi di negara ini, hakikatnya ia gagal mengatasi FDI 2007, sewaktu BN memerintah negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada BH selepas menghadiri majlis penghargaan untuk pengusaha logistik Selangor yang dihadiri hampir 400 warga industri terbabit. Mohd Zin berkata, pengusaha logistik mempunyai peranan penting kerana mereka adalah penggerak utama dalam setiap pembangunan prasarana dan ekonomi.

“Mereka adalah penggerak kepada setiap pembangunan yang dilaksanakan. Jika mereka mengadu tidak mendapat banyak peluang perniagaan, ia bermakna pertumbuhan ekonomi negeri menguncup,” katanya.

Prasarana hebat
Beliau berkata, Selangor mempunyai segala prasarana hebat yang mampu mengangkatnya menjadi negeri maju, lebih dulu berbanding sasaran negara maju yang ditetapkan kerajaan pusat.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri mengambil sikap bermusuh dengan kerajaan pusat sehingga menyaksikan pertumbuhannya terbantut.

“Seharusnya kerajaan negeri mementingkan kemajuan Selangor dan bekerjasama dengan kerajaan pusat. Tapi mereka lebih rela bergaduh demi kepentingan politik daripada membangunkan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zin berkata, BN akan mengumumkan manifesto khas Selangor yang memberikan tumpuan terhadap usaha mengangkat negeri ini menjadi negeri maju dengan rakyatnya memperoleh pendapatan tinggi andai memenangi pilihan raya umum kelak. 
 
/hwa: bharian.com.my | 31/3/13

Tiada ulasan: