7 Mac 2013

Kenyataan gambaran peribadi sebenar pemimpin pembangkang

Ruslee Hashim bersama sebahagian pemimpin serta ahli NGO tempatan menunjukkan salinan laporan polis selepas membuat laporan polis berhubung kenyataan fitnah Tian Chua di IPD Bandar Baharu, Kedah, kelmarin. 
*****
KUALA LUMPUR 5 Mac - Tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua mengaitkan UMNO dengan kejadian pencerobohan di Lahad Datu, Sabah menunjukkan keperibadian sebenar pemimpin pembangkang itu yang mempolitikkan isu keselamatan negara demi kepentingan peribadi.
Penaung Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) 1Malaysia Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Ruslee Hashim menyifatkan kenyataan itu sebagai biadab kerana melibatkan kehilangan nyawa pasukan keselamatan negara.
"Kalau benar itu satu sandiwara, bagaimana pula dengan nasib anggota keselamatan negara yang terkorban. Adakah kematian itu juga satu sandiwara?
"Saya berharap Tian Chua bukan sahaja akan dikenakan tindakan undang-undang tetapi juga dihukum oleh rakyat pada pilihan raya umum nanti kerana langsung tidak peka dengan soal keselamatan negara," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Parlimen Kulim-Bandar Baharu membuat laporan polis terhadap kenyataan Ahli Parlimen Batu itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu, Kedah kira-kira pukul 5 petang semalam.
Antara NGO yang turut serta membuat laporan itu ialah ahli-ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) kawasan tersebut.
Ruslee turut kecewa dengan sikap pembangkang yang terus mempolitikkan isu keselamatan negara.
Katanya, sebagai warganegara Malaysia pemimpin pembangkang terbabit perlu menunjukkan semangat patriotik dan bukannya memburuk-burukkan kerajaan.
"Bukankah lebih baik mereka menyokong usaha kerajaan yang mahu menamatkan pencerobohan tersebut dengan jayanya. Ini tidak, semua mahu dihentam. Ini bukan cara pembangkang yang baik, tetapi sangat tidak bertanggungjawab," tegasnya.

Tiada ulasan: