
H'ng Khoon Leng (tiga dari kiri)
bersama Shaik Hussein Mydin (empat dari kiri) mahukan penjelasan dari
kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung sebuah syarikat yang mempunyai modal
berbayar RM2 diberi projek mega dalam sidang media di Pulau Pinang,
semalam.
*****
Ketua Penerangan Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri, H'ng Khoon Leng berkata, penafian itu dilihat bertujuan membina reputasi tinggi kepada syarikat berkenaan dan hanya dibuat selepas pendedahan pihaknya mengenai kemampuan kewangan yang diragui.
"Jadi kami cabar Ketua Menteri, Lim Guan Eng menunjukkan bukti bahawa syarikat berkenaan iaitu Konsortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. mempunyai kemampuan kewangan seperti yang didakwa.
"Apa yang berlaku sekarang, Guan Eng tidak menunjukkan teladan yang betul kepada rakyat negeri ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pemuda UMNO negeri, Shaik Hussein Mydin.
Sebelum ini, Pemuda BN negeri mendedahkan tentang tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang memberikan projek pembinaan terowong itu kepada syarikat yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pembinaan di samping kemampuan kewangannya yang diragui.
Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh kerajaan negeri sambil memaklumkan syarikat RM2 yang dimaksudkan ialah sebuah syarikat tujuan khas yang merupakan konsortium usaha sama syarikat kontraktor terlibat iaitu Zenith Construction Sdn. Bhd. bersama China Railway Construction Corporation Ltd, Beijing Urban Construction Group, Sri Tinggi Sdn. Bhd. dan Juteras Sdn. Bhd.
Mengulas lanjut, Khoon Leng berkata, penafian itu merupakan sesuatu yang sukar dipercayai.
"Pemeriksaan kami dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati konsortium itu sehingga tarikh 1 Mac 2012 mempunyai modal berbayar sebanyak RM2 sahaja.
"Saya ingin bertanya, adakah kerajaan negeri berani menunjukkan kepada rakyat rekod yang menunjukkan Konsortium Zenith mempunyai modal berbayar RM4.5 bilion seperti mereka dakwa," soalnya.
Secara sinis, Khoon Leng turut meminta Guan Eng yang juga bekas akauntan itu menghadiri semula kursus pengurusan kewangan.
"Pada Februari 2010, beliau pernah menegaskan tender projek tidak seharusnya diberikan kepada syarikat yang mempunyai modal berbayar sebanyak RM2.
"Dalam hal ini, dengan jelas menunjukkan beliau sendiri gagal melakukan apa yang pernah dikatakan sebelum ini," katanya.
Sementara itu, Guan Eng digesa memberi penjelasan mengenai lima syarikat dalam senarai syarikat usaha sama Malaysia-China, Konsortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. yang terlibat dengan projek mega tersebut.
Shaik Hussein berkata, penjelasan yang diberikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus baru-baru ini menimbulkan keraguan berbanding apa yang diumumkan Guan Eng.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan