31 Mac 2013

Manifesto pembangkang runtuhkan negara

PUTRAJAYA 29 Mac - Manifesto pakatan pembangkang yang penuh dengan fantasi akan menyebabkan negara mengalami krisis kewangan dan ekonomi sebagaimana yang sedang berlaku di beberapa negara Kesatuan Eropah.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, dalam tempoh setahun sahaja pelaksanaan manifesto pembangkang itu akan meningkatkan defisit fiskal daripada empat peratus menjadi 11.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Lebih parah, kerajaan akan mengalami defisit akaun semasa iaitu jumlah hasil tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan mengurus. Ini bermakna kerajaan perlu meminjam untuk membayar gaji, hutang negara, subsidi dan pencen," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, penjimatan RM49.5 bilion yang didakwa oleh pembangkang untuk membiayai manifesto mereka sama sekali tidak munasabah kerana jumlah itu bersamaan dengan peruntukan pembangunan negara bagi tempoh setahun.
"Jika dilaksanakan (manifesto) ini bermakna kerajaan tidak akan dapat membina sekolah, hospital, jalan raya dan lain-lain kemudahan awam bagi memenuhi keperluan rakyat.
"Apabila pembangkang membandingkan penjimatan perbelanjaan di negeri dengan peringkat negara, ini menunjukkan pembangkang tiada akauntabiliti dan mengambil mudah semua perkara kerana perbandingan tersebut adalah tidak setara," katanya.
Beliau menambah, pembangkang juga tidak mengkaji setiap komponen dalam perbelanjaan Kerajaan Persekutuan bahawa sesetengah perbelanjaan seperti pemberian kepada negeri, gaji, pencen dan bayaran hutang tidak boleh dikurangkan.
Kata Ahmad Husni, manifesto pembangkang mengabaikan implikasi kepada kedudukan kewangan kerajaan dan kesan herotan pasaran ke atas ekonomi.
"Pelaksanaan manifesto pembangkang hasil daripada pengiraan kewangan yang tidak tepat akan menyebabkan rencatan dan pengucupan ekonomi seterusnya mendatangkan kesan sistemik di mana penarafan negara akan jatuh.
"Jumlah pelaburan asing akan berkurangan, ekonomi merudum, kadar pengangguran meningkat dan seterusnya meruntuhkan ekonomi negara," jelas beliau.
Tambahnya, manifesto pembangkang turut meningkatkan pemberian subsidi secara pukal yang dilihat akan menguntungkan golongan kaya seterusnya meluaskan jurang pendapatan rakyat.
Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah mempersoalkan bagaimana manifesto pembangkang itu boleh dilaksanakan.
"Pembangkang kata hendak kurangkan harga petrol tetapi pengurangan 20 sen akan membawa kesan RM4.6 bilion yang perlu ditanggung kerajaan selain penghapusan tol yang menyebabkan tanggungan RM6 bilion.
"Mereka juga kata nak hapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), jadi dari mana kita nak dapat duitnya?" soalnya.

Tiada ulasan: