31 Mac 2013

Waspada gimik politik Pas

KOTA BHARU 29 Mac - Majlis pecah tanah pembinaan stadium dan bandar sukan di Bukit Merbau, Pasir Puteh yang akan diadakan esok oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan gimik politik Kerajaan Pas Kelantan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini bukan kali pertama Kerajaan Pas Kelantan mengadakan majlis pecah tanah untuk sesuatu projek yang akhirnya tidak terlaksana.
Beliau berkata, rakyat negeri ini sudah pasti dapat membuat pertimbangan sama ada Kerajaan Pas Kelantan mampu melaksanakan projek berkenaan atau sekadar merasmikan sahaja.
“Kalau mereka mampu melaksanakan, baguslah. Rakyat akan membuat penilaian, ini bukan kali pertama Kerajaan Pas Kelantan adakan majlis pecah tanah, begitu juga dengan majlis pecah tanah projek lebuh raya baru-baru ini sehingga hari ini tidak dilihat kerja-kerja dilakukan," kata beliau.
Mustapa berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu negeri ini di sebuah hotel di sini malam tadi.
Sejak 23 tahun memerintah, Kerajaan Pas Kelantan telah mengadakan majlis pecah tanah untuk pelbagai projek namun akhirnya tidak mampu dilaksanakan.
Antara projek Pas yang gagal dilaksana walaupun mengadakan majlis pecah tanah ialah jambatan merentasi Sungai Kelantan menghubungkan Kampung Cina di sini dengan Palekbang di Tumpat, projek pembangunan Lembah Sireh, Afta City, bandar baru Pengkalan Kubor dan banyak lagi.

Tiada ulasan: