24 Mac 2013

Putera Mahkota Bahrain kunjungi Najib, kukuh hubungan baik

NAJIB Tun Razak bersama Putera Salman Hamad Al-Khalifa ketika menerima kunjungan Putera Mahkota Bahrain itu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - BERNAMA 
*****
PUTRAJAYA 22 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan hormat Putera Mahkota Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al-Khalifa.
Putera Salman, yang juga Timbalan Perdana Menteri Pertama Bahrain, berada di sini bagi melakukan lawatan kerja tiga hari ke Malaysia dan lawatan ini merupakan lawatan peringkat tinggi pertama pemimpin Bahrain ke negara ini sejak 2012.
Sejurus tiba di Bangunan Perdana Putra di sini pada 4.45 petang dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Putera Salman terus diiring ke pejabat Perdana Menteri di tingkat 5.
Putera Salman, yang juga Timbalan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Bahrain, diiringi dua menteri dan para pegawai kanan kerajaan.
Putera Salman dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara esok, sebelum menghadiri majlis santapan yang dihoskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam kenyataan semalam, Wisma Putra melahirkan keyakinan Malaysia bahawa kunjungan Putera Salman akan mengukuhkan hubungan baik sedia ada antara Malaysia dan Bahrain.
Bahrain ialah rakan perdagangan kesembilan terbesar bagi Malaysia di Timur Tengah dengan nilai dagangan antara kedua-dua negara berjumlah RM901.27 juta (AS$291.67 juta).
Malaysia juga banyak melabur di Bahrain, terutama dalam sektor kewangan dan pembinaan. - BERNAMA

Tiada ulasan: