KOTA BHARU 10 Mac - UMNO Kelantan tidak pelik dengan sikap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terus mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat Ketua Pembangkang itu berikutan permohonan maaf bapa mangsa, Azlan Mohd. Lazim.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, semua pihak mengetahui bahawa Nik Abdul Aziz akan mempertahankan setiap tindakan orang yang 'sebulu' dengannya, termasuk Anwar.
Beliau berkata, sewajarnya Menteri Besar Kelantan itu menilai secara mendalam perkara tersebut kerana mangsa dalam kes ini, Mohd. Saiful Bukhari masih tetap mempertahankan sumpah laknat dan dakwaan dibuat sebelum ini.
"Hanya Anwar dan Allah sahaja yang mengetahui. Kes ini masih di mahkamah biarpun telah diputuskan tetapi rayuan masih berjalan ini bermakna mangsa masih tidak berpuas hati dan semua tahu apa yang berlaku, antara keputusan hakim sebab utamanya adalah tempat simpanan barang kes dipertikaikan.
"Versi bapanya, versi Mohd. Saiful berbeza, jadi untuk seseorang membuat pandangan begitu sahaja tanpa melihat kepada kes secara mendalam khususnya ia berlaku terhadap Saiful bukan bapanya. Jadi amat tidak wajar untuk kita membuat sebarang rumusan pada masa sekarang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Nik Abdul Aziz yang menyifatkan kebenaran terhadap Anwar yang sebelum ini mendakwa difitnah sebagai 'peliwat' semakin jelas kebenarannya selepas Azlan membuat pusingan 'U' kelmarin.
Bagaimanapun, Mohd. Saiful berpegang teguh pada sumpah laknatnya sebelum ini bahawa dia pernah diliwat oleh Anwar pada 2008, sekali gus menolak dakwaan bapanya, Azlan kononnya tuduhan ke atas Anwar itu adalah satu fitnah.
Dalam sidang akhbar di pejabat peguamnya di sini kelmarin, Mohd. Saiful yang turut bersumpah dengan nama Allah menegaskan dia tidak akan sesekali berganjak daripada dakwaannya ke atas Anwar dan menyifatkan kenyataan terbaharu bapanya itu akibat kerakusan politik Anwar.
Beliau juga percaya isu itu sengaja ditimbulkan bagi mengalih perhatian masyarakat daripada isu 'pengkhianat negara' berikutan kes pencerobohan pengganas Sulu di Sabah ketika ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan