KUALA LUMPUR 10 Mac - Tindakan Setiausaha Politik Ahli Parlimen Ampang, Mohd. Fareez Kamal Intidzam membuat laporan polis berhubung keselamatannya semalam merupakan gambaran jelas wujud keretakan serius dalam kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, tindakan Mohd. Fareez itu juga membuktikan terdapat pertembungan antara Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dengan Timbalannya, Azmin Ali.
"Selama ini mereka cuba menyorok krisis dalaman parti antara kem Wan Azizah dengan kem Azmin, namun menerusi pendedahan terbaharu ini, saya tidak fikir mereka boleh menutupnya lagi.
"Dengan pelbagai masalah dalam PKR, pembahagian kerusi dalam pakatan pembangkang membabitkan DAP dan Pas pastinya lebih kalut dan penuh dengan kepincangan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Mohd. Fareez membuat laporan polis kerana mendakwa diancam bahaya selepas menghantar surat kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan hanya Azmin layak memimpin PKR untuk pilihan raya umum akan datang.
Mohd. Fareez turut mendakwa hubungan rapatnya dengan Anwar menimbulkan rasa cemburu Wan Azizah hingga menimbulkan ancaman daripada kumpulan penyokong Wan Azizah.
Sementara itu, bekas Ketua Penerangan PKR, Ruslan Kassim berkata, keretakan hubungan antara Wan Azizah dan Azmin bukan perkara baharu dan laporan polis Mohd. Fareez tersebut mendedahkan lagi pergolakan tersebut.
"Mohd. Fareez membuat laporan polis untuk melindungi dirinya dan mungkin ada asas kalau kita tengok sikap samseng penyokong-penyokong PKR sebelum ini. Demokrasi dalam parti itu hanya indah khabar dari rupa," katanya.
Dalam masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan Mohd. Fareez itu bertujuan memburukkan imej Wan Azizah bagi memberi laluan kepada Azmin menguasai PKR sepenuhnya.
Menurutnya, perkara itu memandangkan Azmin ketika ini dilihat semakin giat memperkukuhkan kedudukannya di semua cabang dan ranting PKR di seluruh negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan